Pengadil perlu buat aduan rasmi kepada FAM

STUART
STUART
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihatkan mana-mana pengadil tempatan yang masih berdepan masalah tunggakan elaun tugasan Liga Malaysia (Liga-M) supaya tampil membuat aduan rasmi kepada badan induk itu untuk tindakan susulan.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, aduan tersebut perlu dikemukakan kepada Unit Pengadil atau Sekretariat FAM secara bertulis dan disertai maklumat tepat untuk memudahkan proses tindakan yang bakal diambil.

Menurut beliau, tanpa aduan rasmi FAM tidak akan mengetahui situasi sebenar yang dihadapi pengadil terjejas selain menyifatkan tindakan melaporkan kepada pihak media hanya merumitkan keadaan dalam mencari jalan penyelesaian.

“Berhubunglah dengan Unit Pengadil dan Sekretariat FAM secara rasmi melalui surat atau pun e-mel dengan penjelasan dan maklumat yang tepat untuk FAM mengambil langkah membantu. FAM boleh bertindak jika pihak pengadil mengambil langkah mengikut proses yang telah ditentukan.

“Sekadar melaporkan kepada media memang susah untuk ambil apa-apa tindakan sebab kita tidak tahu dengan terperinci. Adakah tidak dibayar tiga perlawanan, 10 perlawanan, melibatkan Liga M3, Piala FA atau mungkin dia tak hadir tapi nak tuntut, kita tidak tahu sebab tak ada maklumat,” katanya hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku badan pentadbir Liga-M mengabaikan pembayaran elaun pengadil yang bertugas bagi saingan Piala Malaysia dan Liga M3 musim 2019 serta aksi kelayakan Piala FA 2020 mengikut tarikh ditetapkan.

FAM turut terkena tempias kecaman sesetengah peminat bola sepak tanah air berhubung isu tersebut, namun Stuart menjelaskan tanggungjawab FAM adalah membuat pelantikan pengadil dan hanya menguruskan soal pembangunan pengadil.

“FAM menyediakan semua pelantikan pengadil untuk pertandingan dan MFL menguruskan bayaran kepada pengadil,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: