Hubungan UMNO, Perikatan Nasional untuk selamatkan Malaysia

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO menegaskan hubungan persefahaman mereka dengan Perikatan Nasional hanya untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional kerana gagasan itu bukan satu entiti politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, persefahaman dengan Perikatan Nasional berbeza antara kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional.

"Kerjasama ini diurus secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan melalui pelbagai proses termasuk dibincangkan di perhimpunan agung sebelum piagam tersebut dimeterai.

"UMNO juga mempunyai kerjasama politik yang mengikat antara MCA, MIC serta PBRS melalui BN. BN pula sebuah entiti politik yang terdaftar.

"Maknanya UMNO dan Pas serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihanraya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Serdang dari DAP, Dr Ong Kian Ming mengenai dilema UMNO dalam Perikatan Nasional, Mohamad menegaskan UMNO tidak akan menghadapi situasi itu kerana tiada perjanjian apatah lagi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Ia (UMNO) hanya menyertai kerajaan atas dasar mendukung Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO kini ialah bersedia memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN. UMNO akan terus menjadi parti politik Melayu terbesar di negara ini," katanya.