Persaingan sengit teknologi China

Teknologi robotik menjadi satu tarikan utama di Shenzhen.
Teknologi robotik menjadi satu tarikan utama di Shenzhen.
A
A
A

SHENZHEN dikenali sebagai Lembah Silikon China kerana kemajuan dalam bidang teknologi dan inovasi bertaraf dunia.

Bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan dan pertanian lebih 40 tahun yang lalu, Shenzhen kini sebuah bandar metropolitan yang indah dan canggih.

Antara syarikat lahir di Shenzhen terkenal ialah pembuat peralatan telekomunikasi, Huawei; pengeluar kereta elektrik, BYD; peneroka permainan video dan media sosial, Tencent termasuk pengeluar produk dron serta fotografi, DJI.

Di Shenzhen semuanya bermula daripada pembinaan sebuah bangunan yang dikenali sebagai Huaqiangbei yang dibina pada tahun 1980 - sebuah gedung yang menjual pelbagai produk elektronik seperti di Plaza Low Yat.

Mereka bermula dengan meniru produk yang ada dan dengan perlahan menjadikannya lebih baik.

Secara peribadi saya melihat produk-produk dari China kini sudah mengalami perubahan besar sejak lima tahun lalu.

Ini kerana persaingan syarikat teknologi di negara itu semakin sengit dan memerlukan kreativiti yang lebih bagus berbanding orang lain.

Disebabkan itu, saya amat teruja dengan usaha sebuah syarikat dikenali sebagai JLC Teknologi Group yang membuka sebuah pusat inovasi bersebelahan bangunan Huaqiangbei.

Tanpa perlu membuat sebarang janji temu, anda boleh terus sahaja masuk ke ruang yang disediakan dan beritahu kepada kakitangan JLC apa yang anda ingin buat.

Artikel Berkaitan:

Dan mereka akan merealisasikan apa sahaja yang anda mahu dalam tempoh empat jam sahaja bergantung kepada kesukaran teknologi yang diinginkan.

Saya berpeluang membuat sendiri sebuah alat yang mempunyai kemampuan kecerdasan buatan (AI) yang mampu membuat terjemahan pantas, memberikan maklumat mengenai cuaca atau membacakan berita semasa.

Proses untuk membuat alat yang canggih tetapi ringkas itu cuma mengambil masa selama lima minit sahaja dan difahamkan kosnya di bawah AS$10 (RM41).

Wakil syarikat itu memberitahu jika pelanggan mahukan produk yang lebih kompleks maka ia akan mengambil masa lebih lama, berbanding menggunakan teknologi sedia ada.

Mereka menjadikan pusat inovasi itu sebagai cara untuk mendapatkan usahawan pelanggan untuk merealisasikan produk impian mereka sendiri.

Disebabkan itulah dalam satu temu bual, pemilik Tesla dan SpaceX, Elon Musk tidak menolak kemungkinan China akan menguasai teknologi AI mengatasi Amerika Syarikat.

Malah beliau yang turut mengiringi rombongan Presiden Donald Trump ke Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik ke-33 kagum dengan negara itu.

Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang cukup kuat untuk menjadi negara teknologi - tenaga kerja berpendidikan, infrastruktur digital, industri semikonduktor, universiti, kedudukan strategik di ASEAN dan pengalaman menarik pelaburan asing.

Namun, cabaran utama bukan sekadar menarik syarikat teknologi masuk, tetapi membina ekosistem yang membolehkan rakyat Malaysia mencipta teknologi, membangunkan produk, memiliki harta intelek dan membina syarikat yang mampu bersaing di peringkat global.

Jika Malaysia mahu belajar daripada Shenzhen dan kejayaan China, kita tidak boleh sekadar meniru bangunan, kilang atau pelaburan mereka. Kita perlu meniru cara mereka membina ekosistem inovasi.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!