'Ulat parkir' Maluri dicekup

KUALA LUMPUR - Aktiviti 'ulat parkir' di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Maluri, di sini akhirnya tumpas apabila seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan itu ditahan pada Sabtu.
Suspek warga tempatan berusia lingkungan 50an itu ditahan kira-kira jam 2 petang susulan laporan yang diterima polis berhubung kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daus mengesahkan penahanan suspek terbabit.
"Disahkan tangkapan ada dilaksanakan berkaitan perkara ini kira-kira jam 2 petang semalam," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan kegiatan 'ulat parkir' yang dipercayai masih berleluasa di kawasan berkenaan.
Susulan itu, polis bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan beberapa pihak berkaitan dilaporkan menjalankan pemantauan di lokasi terbabit pada Sabtu.
Dalam pada itu, ParkIt Malaysia menerusi hantaran di Threads baru-baru ini memaklumkan pihaknya tidak mengenakan sebarang bayaran parkir di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) turut mengesahkan bahawa pihak ketiga yang menjalankan kegiatan kutipan bayaran parkir di lokasi terbabit tidak mempunyai lesen untuk beroperasi di tanah berkenaan.
ParkIt Malaysia turut meminta orang ramai yang pernah membuat bayaran kepada individu terbabit supaya tampil menyalurkan maklumat termasuk resit pembayaran, nama syarikat atau kod QR yang digunakan bagi tujuan kutipan bayaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

