Tragedi kepala air: Selaman di lokasi petunjuk K9 cari mangsa terakhir

HULU SELANGOR - Pencarian mangsa terakhir tragedi kepala air Sungai Luit, berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak, di sini melibatkan operasi selaman di kawasan titik pencarian yang dikenal pasti berdasarkan petunjuk daripada Unit K9 pada Ahad.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kelima itu bermula jam 8.30 pagi dengan kekuatan 43 anggota daripada pelbagai agensi, termasuk 26 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 17 anggota agensi sokongan.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, kawasan pencarian dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu Sektor C dan Sektor D bagi memastikan operasi dilaksanakan secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Menurutnya, operasi pencarian dimulakan pada jam 8.50 pagi dengan penglibatan Unit K9 yang menjalankan kaedah sniff searching di Sektor C bagi mengenal pasti lokasi berpotensi untuk tindakan pencarian lanjut.
"Susulan petunjuk yang dikenal pasti Unit K9, pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melaksanakan operasi selaman di kawasan berkenaan.
"Pada masa sama, pasukan bot turut menjalankan kaedah Donut/Expanding Square dan Surface Searching di kedua-dua sektor bagi memperluaskan kawasan pencarian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air di Sungai Luit, Kampung Orang Asli Pertak, di sini ditemukan pada Jumaat.
Pengarah JBPM Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mayat lelaki warga India yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemukan pada jam 3.40 petang di kawasan pencarian sektor C.
Pada Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus dengan seorang mangsa warga tempatan ditemukan pada jam 1.30 pagi Selasa di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian di Lata Jebus.
Lata Jebus dipercayai lokasi tujuh daripada lapan mangsa dihanyutkan arus, manakala seorang lagi mangsa dipercayai dihanyutkan dari kawasan berhampiran Tapak Berkelah Sungai Pertak.
Beliau berkata, operasi turut dibantu Unit Udara yang menggunakan sebuah dron bagi tujuan pemantauan dari udara serta mengenal pasti kawasan berpotensi.
Katanya, seramai 25 anggota digerakkan khusus bagi operasi pencarian sebelah pagi dengan menggunakan lima bot terdiri daripada tiga bot JBPM, sebuah bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali dan sebuah bot Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas perancangan operasi sebelah petang, beliau berkata, pergerakan pasukan akan ditentukan berdasarkan penilaian semasa keadaan cuaca, paras air dan arus sungai.
"Faktor keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi kawasan operasi ini pernah mengalami dua kejadian kepala air sebelum ini iaitu pada 11 November lalu, jam 3.30 petang dan 14 November, jam 1 pagi.
"Perkara itu diambil kira dalam perancangan operasi khususnya membabitkan perubahan aliran sungai, keadaan dasar sungai serta risiko kepada pasukan penyelamat," katanya.
Ujarnya, operasi SAR diteruskan secara bersepadu dengan mengoptimumkan kepakaran serta aset semua agensi terlibat bagi memastikan usaha mengesan mangsa dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

