Anwar tidak tunduk desakan ubah dasar berasaskan dominasi kaum

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu dasar negara diubah berasaskan dominasi kaum demi kelangsungan politik semata-mata.
Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu dipertikaikan.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan akan terus bertanggungjawab memastikan keadilan, kesejahteraan dan kebahagiaan setiap warganegara tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.
Anwar berkata, meskipun berdepan desakan supaya menyesuaikan dasar negara dengan mengutamakan dominasi kaum demi mengekalkan kuasa politik, beliau tetap berpegang teguh kepada prinsip untuk memimpin Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.
"Sekarang ini kalau pergi mana-mana, orang kata: Anwar, kamu perlu menyesuaikan dasar dengan mengutamakan orang Melayu dan dominasi Melayu. Jika tidak, kamu tidak akan dapat bertahan (dalam politik)". Saya jawab: Saya mahu terus bertahan sebagai pemimpin Malaysia yang mencintai negara ini.
"Saya mahu pertahankan prinsip-prinsip negara kita, Perlembagaan kita,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Deepavali 2026 Peringkat Kebangsaan di Little India, Brickfields di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh serta Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Datuk Seri N. Gobalakrishan.
Perdana Menteri tutut membidas pihak tertentu yang menjadikan isu kelangsungan (survival) kaum sebagai naratif perjuangan, sedangkan pada hakikatnya mereka didakwa lebih mengutamakan kepentingan serta kekayaan peribadi dan keluarga.
Anwar turut menempelak sikap segelintir persatuan dan parti politik yang sengaja membangkitkan sentimen perkauman bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu penipuan serta rasuah.
"Lihat tokoh-tokoh yang bicara soal survival kaum. Mereka itu antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya terus mempertahankan nilai kemanusiaan, keadilan dan perpaduan sebagai asas kekuatan negara, selaras dengan semangat sambutan Deepavali yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan.
Beliau berkata, mesej di sebalik perayaan itu bukan sahaja relevan kepada masyarakat India, malah perlu dihayati seluruh rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang budaya.
"Manusia mesti memartabatkan nilai yang baik,” katanya sambil merujuk kepada ajaran dan falsafah pelbagai agama serta karya klasik Tamil, Tirukkural yang menekankan prinsip moral, keadilan, kemanusiaan dan hubungan baik sesama masyarakat.
"Di sini (di Malaysia) kita saling menghormati meskipun berbeza, agama lain, budaya lain, bahasa asal lain, keturunan lain, tetapi kita ada kemanusiaan. Kita saling hormat, menghargai antara satu sama lain.
"Begitulah Malaysia yang seharusnya, yang mesti terus kekal dan mencapai kejayaan sebagai sebuah negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
