United berisiko hilang penajaan RM4.8 bilion

United ketika ini berada di kedudukan ke-18 Liga Perdana Inggeris.
United ketika ini berada di kedudukan ke-18 Liga Perdana Inggeris.
A
A
A

MANCHESTER United kini berdepan ancaman kewangan yang teruk sekiranya mereka tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada penghujung musim ini.

Skuad The Red Devils itu ketika ini terperosok di zon penyingkiran pada kedudukan ke-18 liga selepas sekadar mengutip lapan mata daripada 10 perlawanan pembukaan.

Kelab itu hanya berjaya meraih satu kemenangan liga setakat musim ini iaitu ketika menundukkan Ipswich Town pada penghujung Ogos lalu.

Prestasi hambar berkenaan meletakkan masa depan ketua jurulatihnya, Michael Carrick di hujung tanduk dan dia dilaporkan bakal dipecat dalam masa terdekat.

Pihak pengurusan kelab dijangka membuat rombakan di kerusi pengendali sebelum aksi getir menentang musuh tradisi, Liverpool sejurus berakhirnya rehat perlawanan antarabangsa.

Bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino dilaporkan berada di kedudukan teratas sebagai calon pilihan bagi menggantikan Carrick.

Namun, sekiranya kemerosotan ini gagal dibendung dan United tersingkir ke divisyen dua, mereka bukan sahaja menanggung malu malah berisiko kehilangan penaja utama atau berdepan pemotongan dana secara drastik.

Berdasarkan perjanjian penajaan jersi bernilai £900 juta (kira-kira RM4.8 bilion) selama 10 tahun yang dimeterai pada musim panas 2023, jenama sukan terkemuka, Adidas mempunyai pilihan untuk menamatkan kontrak penajaan dengan hanya notis satu tahun jika United tersingkir.

Selain penamatan kontrak, gergasi pakaian sukan itu juga mempunyai klausa untuk mengurangkan separuh daripada bayaran tahunan bagi setiap musim yang menyaksikan The Red Devils tidak beraksi di divisyen utama.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu bermakna sekiranya United tersingkir pada Mei ini, Adidas hanya akan membayar £45 juta (RM244 juta) bagi kempen 2027-28 berbanding jumlah penuh £90 juta (RM489 juta) semusim.

Bukan itu sahaja, Adidas turut mempunyai hak untuk memotong sebanyak £10 juta (RM54 juta) bagi setiap musim sekiranya juara 20 kali Liga Inggeris itu gagal menempah tiket ke pentas Liga Juara-Juara Eropah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!