[VIDEO] Pecah masuk pajak gadai rupanya helah tutup kes pecah amanah RM28.4 juta

A
A
A

JOHOR BAHRU – Kegiatan pecah masuk sebuah premis pajak gadai di Kota Tinggi yang mengakibatkan kerugian dianggarkan RM28.4 juta membongkar kegiatan pecah amanah yang dipercayai didalangi bekas pengurus premis berkenaan.

No Image Caption

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan mendapati seorang bekas pengurus wanita berusia 44 tahun disyaki menjadi dalang utama dalam kegiatan tersebut.

Menurut beliau, laporan mengenai kejadian itu diterima daripada pengurus cawangan pajak gadai berkenaan pada jam 11.42 pagi Jumaat lalu sebelum siasatan membawa kepada penahanan tujuh individu.

"Berdasarkan siasatan awal, kita dapati insiden pecah masuk premis itu seolah-olah dirancang.

"Ia bertujuan menghapuskan bukti berhubung perbuatan pecah amanah yang dipercayai dilakukan oleh beberapa individu yang telah ditahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Selasa.

Ab Rahaman ketika sidang akhbar berhubung kes pecah amanah membabitkan premis pajak gadai di Kota Tinggi.
Ab Rahaman ketika sidang akhbar berhubung kes pecah amanah membabitkan premis pajak gadai di Kota Tinggi.

Artikel Berkaitan:

Ab Rahaman berkata, suspek dipercayai memasuki premis melalui pintu hadapan sebelum keluar menerusi pintu belakang dengan melarikan barang kemas dan wang tunai yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM28.4 juta.

Susulan itu, polis menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 29 hingga 48 tahun dalam operasi yang dijalankan pada 7 dan 8 November di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Hasil tangkapan tersebut, polis merampas 2,891 barangan kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371, dua resit pajak gadai, dua rangkaian kunci, dua beg silang serta sebuah telefon bimbit.

Mengulas modus operandi yang digunakan, beliau berkata suspek dipercayai menggunakan identiti pemajak yang diragui bagi menggadaikan barangan kemas yang disyaki palsu.

"Polis turut meragui identiti pemajak yang digunakan sama ada individu tersebut benar-benar wujud atau sebaliknya.

"Kita percaya pemajak terbabit tidak wujud kerana tiada nombor pengenalan yang sah dan terdapat kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) ketika proses penggadaian dilaksanakan," katanya.

Antara barangan kemas dan wang tunai yang dirampas polis susulan penahanan tujuh individu berhubung kes pecah amanah membabitkan sebuah premis pajak gadai di Kota Tinggi.
Antara barangan kemas dan wang tunai yang dirampas polis susulan penahanan tujuh individu berhubung kes pecah amanah membabitkan sebuah premis pajak gadai di Kota Tinggi.

Menurut beliau, polis masih bekerjasama dengan pihak syarikat bagi mengesahkan ketulenan semua barang kemas yang dirampas.

Katanya, kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara empat hingga lima tahun, manakala kebanyakan suspek yang ditahan merupakan bekas rakan sekerja.

Dalam perkembangan sama, seorang lelaki yang juga suami kepada suspek wanita berusia 44 tahun itu turut ditahan dan polis masih menyiasat tahap penglibatannya dalam kes berkenaan.

Polis turut menerima satu laporan berkaitan pemalsuan barang kemas yang digadaikan pada 6 Oktober lalu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, hanya seorang daripada suspek lelaki mempunyai dua rekod kesalahan lampau, manakala ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dadah.

"Empat suspek direman selama tujuh hari bermula 8 hingga 14 November manakala tiga lagi direman dari 9 hingga 15 November bagi membantu siasatan.

"Kes pecah masuk itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menyalurkan maklumat berkaitan kes tersebut kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!