Kerajaan perlu benarkan klinik LPPKN beroperasi: Wan Azizah

DR WAN AZIZAH
DR WAN AZIZAH
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji semula keputusan tidak membenarkan Klinik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perkhidmatan tersebut amat diperlukan khususnya dalam kalangan B40 yang tidak mampu membayar kos pembiayaan di klinik swasta untuk merancang keluarga.

“Saya berpendapat perkhidmatan klinik ini amat diperlukan dan keputusan ini patut disemak semula.

"Klinik swasta dibenarkan beroperasi sepanjang PKP. Justeru, saya mencadangkan klinik LPPKN perlu juga dibenarkan beroperasi bagi golongan B40 yang memerlukan perkhidmatannya,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Wan Azizah yang juga merupakan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian menyokong kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) tidak setuju dengan keputusan kerajaan menutup klinik LPPKN.

Terdahulu, Persekutuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) berkata, klinik LPPKN perlu dibuka kerana waktu PKP ini akan menyebabkan kandungan luar jangka berlaku.

Klinik LPPKN menyediakan perkhidmatan perancang keluarga, kesuburan, mamogram bersubsidi dan lain-lain.

Perkhidmatannya juga merangkumi pemeriksaan kesuburan, barah, pengurusan menopaus dan ujian makmal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan itu turut mencadangkan klinik perancang keluarga beroperasi secara dalam talian bagi memudahkan pelanggan menghubungi pegawai perubatan atau kaunselor yang bertugas dari rumah untuk mendapatkan nasihat.

Katanya, ubat-ubatan pula boleh diserahkan kepada pelanggan melalui khidmat penghantaran.

“Selain daripada itu, satu talian “hotline” khusus yang dikendalikan oleh LPPKN boleh disediakan. Ini adalah bagi menampung panggilan kepada Talian Kasih 15999 yang didapati meningkat sepanjang tempoh PKP.

“Ini adalah penting untuk pelanggan yang tidak mempunyai telefon pintar atau komputer dengan khidmat internet,” katanya.