'Berlaku kecuaian akibatkan kecederaan ketika operasi AADK Bera' - EAIC

SHAH ALAM - Terdapat kecuaian ketika serbuan yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Bera hingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam 13 Oktober tahun lalu.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melengkapkan siasatan di bawah subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] berhubung aduan dakwaan tindakan kekerasan dan salah laku oleh pegawai AADK Daerah Bera semasa Operasi Pengesanan Orang Yang Disyaki (OYDS).
Menurutnya, hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian dalam pengendalian taktikal serbuan dan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa serbuan sehingga mencetuskan keadaan panik dan pergelutan yang mengakibatkan kecederaan kepada orang awam atau pihak ketiga di lokasi serbuan.
"Turut dikesan berlaku ketidakpatuhan terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah (PTKP) BAB 02/2025 (Pindaan 2026) melibatkan kegagalan membuat catatan insiden pergelutan atau kecederaan dalam Buku Catatan (Pocket Book) serta kegagalan pengawasan dan pelaksanaan rakaman gambar sepanjang operasi dijalankan.
"Dakwaan berkenaan wujudnya unsur ugutan oleh pegawai AADK Bera berhubung larangan mendedahkan kejadian kepada pihak luar adalah tidak dapat disahkan," katanya pada Selasa.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 246] terhadap pegawai-pegawai yang terlibat atas kesalahan cuai dalam melaksanakan tugas dan ingkar perintah.
Kata EAIC, pihaknya mengesyorkan supaya AADK mewujudkan Garis Panduan Berkenaan Pertimbangan Tahap Risiko (Risk Assessment) Semasa Operasi dan mengemas kini PTKP BAB 02/2025 (Pindaan 2026).
"Ini berkaitan tatacara pengenalan diri, pencahayaan di lokasi serbuan serta merekodkan sebarang kecederaan dalam Buku Catatan (Pocket Book)," ujarnya.
Tambahnya, EAIC mengesyorkan supaya AADK memastikan pembekalan dan penyelenggaraan Buku Catatan (Pocket Book) diwajibkan kepada semua pegawai dan anggota penguat kuasa yang ditugaskan di lapangan tanpa pengecualian.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) disyorkan memberi keutamaan kepada Dasar Pembekalan Serta Perolehan Kamera Badan (Body Camera) khusus untuk pegawai dan anggota penguat kuasa AADK yang menjalankan operasi di lapangan," ujarnya.
Jelas kenyataan itu, EAIC kekal komited dalam memastikan tahap integriti dan profesionalisme agensi penguatkuasaan seliaan sentiasa diperkasakan demi kepentingan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
