[VIDEO] Jerebu: Malaysia akan tetap bantu Indonesia

A
A
A

BAGAN DATUK – Malaysia akan meneruskan bantuan kepada Indonesia bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat lalu dan Malaysia komited memberikan bantuan sebaik mungkin kepada negara berkenaan.

Menurutnya, usaha menangani kebakaran dan jerebu di Indonesia berdepan beberapa kekangan termasuk keadaan penglihatan yang terhad sehingga menyukarkan operasi penerbangan serta ketiadaan awan yang menghalang pelaksanaan pembenihan hujan.

“Daripada segi tenaga, Indonesia mempunyai lebih 19,000 anggota, manakala peralatan termasuk kapal terbang dan helikopter yang digerakkan juga banyak.

“Namun, terdapat masalah kerana pesawat tidak dapat terbang disebabkan jarak penglihatan yang terlalu rendah. Selain itu, pembenihan hujan juga tidak dapat dilakukan kerana tiada awan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyampaian hadiah Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Daerah Bagan Datuk di Tapak Pasar Malam Bagan Datuk pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia bersimpati dengan situasi yang dihadapi Indonesia dan berharap masalah jerebu itu dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan kesan buruk terhadap negara-negara jiran.

Katanya, jerebu berkenaan boleh menjejaskan kesihatan penduduk Malaysia terutama mereka yang mempunyai masalah alahan dan sensitif terhadap pencemaran udara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perbincangan turut diadakan secara langsung dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kedua-dua pemimpin itu memberikan reaksi yang baik berhubung perkara tersebut, namun kekangan penglihatan dan ketiadaan awan masih menjadi cabaran dalam usaha menangani jerebu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!