BDS sokong larangan penggunaan Waze

BDS Malaysia menggesa kerajaan menamatkan semua hubungan serta kontrak dengan AWS.
BDS Malaysia menggesa kerajaan menamatkan semua hubungan serta kontrak dengan AWS.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Gerakan Boikot, Pelaburan Semula dan Sekatan Malaysia (BDS Malaysia) menyokong arahan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze.

Badan bukan kerajaan (NGO) terbabit turut menyambut baik saranan kerajaan supaya orang ramai turut menghentikan penggunaan aplikasi berkenaan.

"Kami menyokong sepenuhnya arahan ini yang dikeluarkan demi mengelakkan keselamatan dan kedaulatan negara kita daripada terjejas oleh Waze, sebuah syarikat berpangkalan di Israel, demi kepentingan rejim aparteid Zionis dan genosid.”

"Kami dengan hormatnya mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa terdapat satu lagi entiti yang wajar dikenakan langkah serupa.” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan serta data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyarankan seluruh rakyat Malaysia menghentikan kebergantungan terhadap aplikasi tersebut demi menjamin perlindungan data peribadi yang lebih kukuh.

Justeru, BDS Malaysia turut menggesa kerajaan mengambil langkah sama terhadap Amazon Web Services (AWS) dengan menamatkan semua hubungan dan kontrak dengan syarikat berkenaan.

Menurut mereka, gesaan itu dibuat berdasarkan kenyataan bersama BDS Malaysia dan 22 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain pada 6 Oktober 2024 berhubung penglibatan AWS dalam Projek Nimbus.

"Seperti dilaporkan sebelum ini, AWS didakwa bersubahat dengan Israel dalam melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza menerusi penglibatannya dalam Projek Nimbus.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, mereka tidak sepatutnya dialu-alukan sekiranya kerajaan benar-benar berpegang pada pendirian untuk memperjuangkan pembebasan Palestin," tegas mereka.

Menurut BDS Malaysia, pemberian projek kepada entiti yang didakwa menyokong genosid seperti AWS di Malaysia boleh membuka akses kepada data sensitif kerajaan dan berpotensi mengancam keselamatan negara.

“Ini menjejaskan tujuan larangan penggunaan Waze,” menurut mereka.

Sehubungan itu, BDS Malaysia menggesa kerajaan supaya konsisten dalam menangani isu keselamatan negara dengan menamatkan semua hubungan dan kontrak dengan AWS.

NGO itu turut memberi amaran bahawa kegagalan mengambil tindakan terhadap AWS boleh menimbulkan persepsi kerajaan hanya menumpukan perhatian kepada ancaman kecil, sedangkan risiko yang lebih besar diabaikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!