PN akan panggil Bersatu bermesyuarat, masih parti anggota - Takiyuddin

KUALA LUMPUR – Selepas mendakwa Bersatu menjadi punca pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dibatalkan, gabungan itu kini akan memanggil parti berkenaan menghadiri mesyuarat walaupun kemelut antara kedua-dua pihak masih belum reda.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Bersatu masih merupakan parti anggota gabungan itu dan akan dipanggil menghadiri mesyuarat yang akan diadakan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis yang menggantung Notis Pembatalan Pendaftaran PN yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membolehkan gabungan itu mengadakan mesyuarat.
"Kami akan panggil Bersatu mesyuarat. Dia adalah parti anggota lagi," katanya ketika ditanya sama ada gabungan itu akan memanggil Bersatu untuk mesyuarat atau sebaliknya ketika sidang akhbar di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis.
Sebelum ini, Takiyuddin mendakwa Bersatu menjadi punca pendaftaran PN dibatalkan RoS susulan aduan parti itu berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan berkenaan.
Beliau turut mendakwa Bersatu bertindak menikam belakang rakan gabungan sendiri apabila mengadu kepada RoS berhubung kegagalan PN memanggil parti itu menghadiri mesyuarat pada 16 Julai lalu.
Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi pada Khamis menggantung pelaksanaan notis pembatalan pendaftaran PN yang dikeluarkan RoS dua hari lalu.
Hakim, Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian membenarkan permohonan gabungan parti itu supaya notis berkenaan digantung sehingga prosiding subtantif semakan kehakiman didengar.
Keputusan ini dibuat sembilan hari sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka, dengan gabungan itu berusaha mempertahankan haknya untuk bertanding menggunakan nama dan logo sendiri.
Semasa membaca keputusan, Azizan berkata, mahkamah mendapati wujud keadaan luar biasa yang mewajarkan penangguhan tersebut, khususnya potensi kemudaratan terhadap aktiviti politik PN serta penyertaannya dalam PRN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


