[VIDEO] Palsukan cuti sakit: Dua wanita didenda RM3,000, penjara lima hari

A
A
A

KOTA TINGGI - Dua wanita masing-masing didenda RM3,000 dan penjara lima hari di Mahkamah Majistret dekat sini, pada Selasa atas kesalahan memalsukan satu dokumen iaitu sijil cuti sakit (MC) pada awal bulan ini.

Hukuman ke atas Alia Mysarah Hairol, 23, dan Nurin Atiqah Kamalrudin, 22 dibuat Majistret Nur Najihah Hamidi selepas kedua-dua mereka mengaku salah.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan penjara tiga hari jika gagal bayar denda tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa memalsukan satu dokumen iaitu sijil cuti sakit secara fraud yang mana diketahui bahawa sijil cuti sakit tersebut adalah palsu di sebuah kedai di Jalan Tun Sri Lanang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nuraini Mohd Shapee, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hilmi Sulaiman Salahuddin.

Nur Najihah berkata, hukuman diberikan sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh kerana perbuatan memalsukan sijil sakit adalah satu kesalahan besar.

Berdasarkan fakta kes, pada 5 Oktober 2026 pengadu merupakan pegawai perubatan dimaklumkan oleh staf klinik tersebut menyatakan terdapat individu memalsukan sijil cuti sakit yang ditandatangani atas nama pengadu sebelum pengadu kemudian membuat laporan polis di Kota Tinggi.

Pada 2 Oktober lalu, majikan Alia Mysarah dimaklumkan bahawa dirinya diberikan sijil cuti sakit atas nama tertuduh, namun majikan berasa curiga dan membuat semakan lanjut dengan klinik terlibat.

Artikel Berkaitan:

Hasil semakan mendapati bahawa sijil cuti sakit merupakan sijil cuti sakit yang palsu sebelum majikan tertuduh bertindak membuat laporan polis di Senai.

Susulan itu polis telah menahan kedua-dua tertuduh pada 18 Oktober di Kota Tinggi.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!