Bersenjatakan pemutar skru, ikat nenek saudara rompak subang emas

IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan merompak sepasang subang emas milik nenek saudaranya di Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Fitri Abdul Aziz, 39, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Tanjong, Kampung Kepayang, Simpang Pulai di sini kira-kira jam 10.30 pagi pada 16 Oktober.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merompak sepasang subang emas milik Lailan Yeop Tarikh, 77, dengan bersenjatakan sebatang pemutar skru yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Bagi kesalahan tersebut, hukuman penjara selama tempoh 14 tahun dan denda atau sebatan boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada bersendirian di rumah melihat tertuduh masuk sambil membawa pemutar skru sebelum lelaki itu meletakkan senjata berkenaan di sebelahnya.

Tertuduh kemudian mengikat tangan mangsa menggunakan pita pelekat berwarna coklat sebelum merompak subang emas yang dipakainya dan melarikan diri.
Mangsa mengalami lebam pada kedua-dua pergelangan tangan manakala nilai kerugian dianggarkan RM3,000.
Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Tertuduh ditangkap pada kira-kira jam 6.45 petang hari sama di sebuah rumah di kawasan RPT Merawan Indah, Simpang Pulai di sini.
Sementara itu ketika merayu hukuman diringankan, Mohamad Fitri memaklumkan bahawa dia belum berkahwin dan mendakwa perbuatannya dilakukan tanpa niat.
Bagaimanapun, ketika ditanya Hakim Ainul Shahrin Mohamad mengenai maksud kenyataan itu, tertuduh menjelaskan dia bertindak demikian kerana sakit hati terhadap mangsa yang juga nenek saudaranya selepas wanita itu menuduhnya mencuri di rumah berkenaan sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Gemain bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan kerana tertuduh didapati bertindak dengan niat untuk merompak termasuk menjual barang kemas berkenaan di sebuah kedai pajak gadai.
Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Oktober lalu serta satu sebatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

