Pencalonan anugerah MyHero 5.0 kini dibuka

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pencalonan anugerah MyHero 5.0 kini dibuka di seluruh negara bagi mengiktiraf wira tidak didendang yang melakukan kebaikan merentasi sempadan kaum dan budaya demi memperkukuh perpaduan negara.
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, konsep 'unsung heroes' atau wira yang tidak didendang sangat penting dalam pembinaan negara bangsa.
Menurutnya, ramai yang berpandangan dan kadangkala mengukur sumbangan seseorang itu berdasarkan jawatan, kedudukan atau sejauh mana seseorang itu dikenali.
"Namun dalam kehidupan sebenar, banyak perubahan besar berlaku kerana individu yang tidak terkenal, tidak mengejar publisiti dan tidak mengharapkan penghargaan.
"Mereka ialah guru yang terus mengajar anak-anak walaupun di luar waktu sekolah dan jiran yang menjaga warga emas apabila keluarga tidak mampu berbuat demikian.
"Mereka juga sukarelawan yang hadir ketika berlaku banjir atau bencana dan petugas kesihatan yang sanggup pergi dari rumah ke rumah untuk merawat pesakit yang terlantar," ujarnya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Anugerah MyHero 5.0 di sini.
Anugerah itu dianjurkan bersama oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) serta Nanyang Siang Pau dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara.
Permohonan perlulah dikemukakan secara dalam talian selewat-lewatnya pada 31 Disember 2026 dan terbuka kepada dua kategori iaitu kategori dewasa (21 tahun ke atas) dan Kategori Remaja (21 tahun ke bawah).
Program yang berteraskan slogan 'Mengubah Kehidupan Kaum Lain, Membina Perpaduan Negara' itu terbuka kepada rakyat Malaysia dan tidak pernah menerima anugerah yang serupa daripada mana-mana organisasi lain.
Tambah Aaron, sepanjang penganjuran terdahulu, seramai 24 rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang telah menerima pengiktirafan MyHero.
"Kita mungkin berbeza bahasa, budaya dan agama, tetapi kita berkongsi satu tanggungjawab yang sama iaitu memastikan tiada siapa dalam masyarakat kita dibiarkan bersendirian ketika memerlukan bantuan.
"Inilah semangat faham, hormat, terima dan meraikan kepelbagaian yang mahu kita hidupkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

