40.5 juta hilang tempat tinggal menjelang 2050

NEW DELHI – Perubahan iklim mengancam kehidupan dan memaksa penduduk meninggalkan kediaman mereka di seluruh Asia Selatan, namun penggunaan teknologi serta tindakan segera kerajaan mampu membantu mengurangkan kesannya.
Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM), Amy Pope berkata, kenaikan paras laut, banjir dan kemarau mengancam kediaman serta kawasan pertanian di rantau itu.
Di bawah senario terburuk, sehingga 40.5 juta penduduk di Asia Selatan berkemungkinan terpaksa berpindah menjelang 2050.
“Ia mungkin berlaku apabila mereka tidak lagi dapat menghasilkan makanan atau tiada lagi sumber makanan untuk haiwan ternakan. Langkah penyesuaian pertama yang sering diambil penduduk adalah berpindah ke kawasan lain.
"Perubahan iklim turut mempercepatkan proses pembandaran di India," ujarnya ketika berkunjung ke New Delhi, baru-baru ini.
Risiko perubahan iklim amat ketara di Asia Selatan apabila jumlah penduduk yang besar dan sumber yang terhad menyebabkan banyak komuniti terdedah kepada ancaman bencana.

Tambahnya, masyarakat antarabangsa masih belum menunjukkan kesungguhan dalam menangani risiko yang dihadapi komuniti rentan. Pope turut memberi amaran bahawa pembiayaan bagi membantu penduduk membuat persediaan menghadapi perubahan iklim masih tidak mencukupi.
“Kos sesuatu bencana kemanusiaan boleh mencecah berbilion-bilion dolar sedangkan pembiayaan langkah meningkatkan daya tahan sebenarnya mungkin jauh lebih rendah,” katanya.
Kekurangan dana
Menurut beliau, penggunaan data yang lebih baik dan kecerdasan buatan (AI) juga boleh membantu kerajaan mengenal pasti komuniti berisiko sebelum bencana melanda.
“Gabungan ramalan cuaca dengan maklumat mengenai penduduk setempat dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti komuniti yang paling memerlukan bantuan.
"Antara langkah yang boleh diambil termasuk menambah baik kaedah pertanian, menyediakan latihan bagi membolehkan penduduk menceburi pekerjaan lain dan memindahkan komuniti yang berulang kali terjejas akibat banjir atau kemarau jika ada keperluan berbuat demikian," jelasnya lagi.
Kekurangan pembiayaan menjadi antara halangan utama pelaksanaan program sedemikian. Pemerintah juga sering berdepan kesukaran untuk memahami dan mengakses mekanisme pembiayaan yang tersedia bagi membiayai usaha penyesuaian terhadap perubahan iklim.

Bagaimanapun, migrasi antarabangsa boleh membuka peluang kepada penduduk untuk memperoleh pendapatan selain membantu mengisi kekosongan tenaga kerja di negara lain.
Asia Selatan sudah mempunyai rangkaian migrasi yang kukuh, sekali gus menyediakan asas untuk memperluas peluang melalui hubungan sedia ada.
Keupayaan teknologi India juga mampu membantu tenaga kerjanya bersaing di peringkat antarabangsa ketika teknologi AI mengubah pasaran pekerjaan.
"Banyak sektor lain masih memerlukan tenaga manusia meskipun AI boleh menjejaskan sesetengah bidang pekerjaan terutamanya tugas rutin seperti menganalisis dokumen dan laporan,
"Pekerja akan mendapat kelebihan sekiranya keupayaan teknologi digabungkan dengan peluang bekerja di luar negara selain dilengkapi kemahiran yang diperlukan untuk menceburi bidang baharu,” katanya.
Pope berpendapat perkembangan di New Delhi memberi lebih banyak sebab untuk optimistik berbanding di negara Asia Selatan lain yang berdepan krisis lebih meruncing. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

