PN dibatalkan: Sokongan rakyat tidak boleh dipadamkan

Takiyuddin mengadakan sidang media mengenai pembatalan pendaftaran PN di Pusat Media Parlimen pada Selasa. Foto: Bernama
Takiyuddin mengadakan sidang media mengenai pembatalan pendaftaran PN di Pusat Media Parlimen pada Selasa. Foto: Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) pada 20 Oktober, hanya 11 hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mencetuskan persoalan tentang kewajaran kuasa penguatkuasaan digunakan ketika pilihan raya semakin hampir.

RoS mendakwa bahawa penjelasan PN tidak memadai untuk menyangkal pelanggaran perlembagaan gabungan itu, susulan aduan Bersatu mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai.

Namun begitu, keputusan pentadbiran tersebut masih boleh dicabar di mahkamah. Ia bukanlah penghakiman muktamad bahawa segala dakwaan Bersatu telah terbukti.

Takiyuddin betul: Mengapa tidak tunggu dua hari?

Kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, wajar disokong kerana ia menyentuh persoalan asas mengenai kedaulatan undang-undang.

Beliau mempersoalkan mengapa RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober sedangkan Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan penangguhan penggantungan pada 22 Oktober.

Lebih membimbangkan, menurut Takiyuddin, PN telah mengutus surat pada 14 Oktober supaya sebarang tindakan lanjut ditangguhkan sementara menunggu pendengaran tersebut, tetapi permintaan itu tidak dijawab.

Beliau turut menyatakan bahawa hujahan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Oktober masih merujuk kepada proses pembatalan yang sedang berjalan.

Kritikannya bukanlah tuntutan supaya PN kebal daripada undang-undang. Sebaliknya, ia menuntut penghormatan terhadap proses kehakiman serta penjelasan mengapa tindakan tersebut begitu mendesak sehingga tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu.

Artikel Berkaitan:

Kuasa RoS memang wujud, tetapi kewujudan kuasa itu tidak menutup persoalan tentang masa, ketelusan dan kewajaran pelaksanaannya.

Apabila notis dikeluarkan pada hari pembubaran DUN Melaka diumumkan, penggantungan menyusul keesokan harinya, dan pembatalan pula berlaku menjelang penamaan calon, masyarakat berhak menuntut jawapan yang meyakinkan.

Azmin jangan keliru antara keputusan RoS, penghakiman mahkamah

Kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, jauh lebih mengecewakan. Beliau mendakwa pembatalan PN 'membuktikan' bahawa kepimpinan Pas melanggar undang-undang dan menyifatkan isu mesyuarat tersebut sebagai kesalahan yang 'fatal'.

Ini merupakan kesimpulan yang terlalu jauh. Walaupun RoS telah membuat keputusan pentadbiran berdasarkan penilaiannya, mahkamah masih mempunyai peranan untuk meneliti kesahan tindakan tersebut.

Azmin boleh mempertahankan aduan Bersatu, tetapi beliau tidak wajar menjadikan keputusan yang belum diuji sepenuhnya di mahkamah sebagai sabitan mutlak terhadap Pas.

Lebih menghairankan, beliau mendakwa bahawa aduan Bersatu dibuat untuk 'menyelamatkan Perikatan Nasional'.

Penyelamatan apakah yang akhirnya membawa kepada pembatalan pendaftaran gabungan itu sendiri? Jika benar matlamatnya adalah untuk memulihkan tadbir urus, mengapa kenyataannya lebih sarat dengan kecaman terhadap Pas berbanding usaha menawarkan jalan penyatuan?

Azmin turut menuduh Pas mengamalkan politik identiti melampau, rakus kuasa dan mengkhianati rakan. Tuduhan politik sekeras itu menuntut bukti serta hujah yang setimpal, bukan sekadar bersandar pada surat pembatalan.

Ironinya, retorik bermusuhan sesama bekas sekutu hanya menyerlahkan keretakan yang kononnya mahu diperbaiki.

Bersatu pernah menjadi pengasas PN, namun kedudukan itu bukan lesen untuk mendakwa memiliki kebenaran mutlak, apatah lagi apabila tindakan yang dipertahankan akhirnya membawa kesan buruk kepada gabungan yang diasaskan bersama.

Bersatu mungkin memperoleh kelebihan taktikal apabila parti itu telah merancang untuk menggunakan logonya sendiri, sedangkan Pas, Wawasan, Gerakan, MIPP dan Pejuang perlu menyusun semula identiti, calon serta kerjasama. Namun, kelebihan mengganggu lawan bukanlah bukti bahawa sesebuah parti mempunyai kekuatan untuk menang.

PRU14: Sejarah yang patut dibaca semula

Pada 5 April 2018, RoS di bawah pentadbiran BN mengeluarkan perintah pembubaran sementara terhadap Bersatu. PH pula belum dapat menggunakan logo gabungannya. Akhirnya, parti-parti PH di Semenanjung bertanding menggunakan logo PKR.

Apakah BN terselamat? Tidak. Pada PRU14, BN tumbang dengan hanya 79 kerusi Parlimen. Halangan terhadap penggunaan lambang tidak mampu menahan gelombang anti-BN.

Peristiwa itu bukanlah bukti bahawa tindakan RoS semata-mata menyebabkan kekalahan BN, tetapi ia menunjukkan bahawa kekangan pentadbiran boleh gagal menghasilkan kesan politik yang dijangka, malah berisiko memarakkan simpati pengundi.

Pengajaran daripada PRU14 amat jelas, iaitu apabila keyakinan rakyat terhadap sesebuah parti atau kerajaan merosot, pertukaran logo tidak dapat menyelamatkannya.

Sebaliknya, apabila sokongan rakyat sudah terbina, ketiadaan logo yang diinginkan tidak semestinya mampu menghalang kemenangan.

Sejarah tidak semestinya berulang dengan tepat, tetapi sesiapa yang menganggap kehilangan logo PN akan memadamkan sokongan kepada Pas sepatutnya belajar daripada pengalaman 2018.

Besatu lemah: Pas dan Wawasan masih ada jentera

Pas tidak lahir bersama PN. Parti itu mempunyai sejarah yang panjang, identiti tersendiri dan jaringan akar umbi yang kukuh. Dalam PRU15, PN menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan di Terengganu dengan menggunakan logo Pas, bukan PN.

Walaupun perlu diakui bahawa Melaka bukan Pantai Timur, dan penerimaan pengundi bukan Melayu serta persaingan setempat kekal sebagai cabaran sebenar, rekod pentadbiran Pas yang bersih dan sederhana di negeri-negeri yang dikuasainya berpotensi menghakis fobia terhadap logo Pas.

Kewujudan Bersatu di Melaka mungkin memecahkan undi, tetapi potensi menjadi pengacau tidak sama dengan memiliki sokongan yang besar.

Rekod terkini Bersatu juga jauh daripada meyakinkan. Dalam PRN Negeri Sembilan pada Ogos 2026, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi, malah 23 daripada 24 calonnya kehilangan deposit.

Meskipun keputusan PRN Negeri Sembilan tidak boleh dipindahkan secara bulat-bulat ke Melaka, ia tetap menjadi petunjuk bahawa Bersatu belum memiliki kekuatan pilihan raya yang sepadan dengan kelantangan kenyataan medianya.

Justeru, pembatalan PN mungkin menyukarkan penyelarasan Pas dan Wawasan serta memudahkan gerakan Bersatu tetapi ia dijangka tidak akan mampu mengubah sokongan pengundi secara besar-besaran. Selebihnya bergantung pada calon, isu tempatan dan disiplin kerjasama.

Takiyuddin tepat apabila menuntut proses yang adil; Azmin pula wajar berhenti menganggap perpecahan gabungan sebagai kemenangan moral. Demokrasi bukanlah pertandingan untuk menentukan siapa paling pantas mengisytiharkan lawan bersalah.

BN pernah gagal menghalang gelombang anti-BN pada 2018 walaupun Bersatu berdepan pembubaran sementara. Oleh itu, jangan sesekali menganggap bahawa sejarah tidak boleh berulang.

Logo boleh dibatalkan melalui surat pentadbiran, tetapi sokongan rakyat hanya boleh ditentukan di peti undi.

*Dr Mukhtaruddin Musa ialah Ketua Penyelidik (Governans & Polisi) Yayasan Strategik Lestari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!