PN perjelas sebab mengapa tidak jemput Bersatu mesyuarat 16 Julai

PN jelaskan sebab mengapa tidak jemput Bersatu mesyuarat 16 Julai.
PN jelaskan sebab mengapa tidak jemput Bersatu mesyuarat 16 Julai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) menjelaskan keputusan tidak menjemput Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu dibuat selepas terdapat aduan berhubung status korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti berkenaan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya turut mengambil kira pengumuman Bersatu untuk menggunakan logo sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

"Kami telah pun beritahu kepada kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) amalan PN.

"Apabila mana-mana parti anggota kami menghadapi masalah dalaman, termasuk parti itu dicabar dalam kalangan ahlinya dari segi perjawatan dan sebagainya, kami akan mengambil tindakan untuk meminta parti itu tidak dilibatkan di dalam mesyuarat PN.

"Inilah yang berlaku, kalau boleh ingatkan saudara Azmin Ali (Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), pada 13 Julai, empat orang ahli Parlimen Bersatu membuat aduan kepada RoS mengenai korum mesyuarat MPT mereka," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Selasa.

Terdahulu, beliau turut memberikan contoh pada Januari lalu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berdepan masalah dalaman berkaitan tuntutan jawatan.

Katanya, PN telah menulis surat kepada MIPP yang parti itu perlu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum kembali dilibatkan dalam mesyuarat gabungan dan MIPP tidak membawa perkara berkenaan kepada RoS.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pihaknya telah menulis surat berhubung perkara berkenaan kepada Bersatu dan mendakwa tidak menerima sebarang penjelasan mengenainya.

Justeru katanya, PN bimbang jika Bersatu ada masalah yang belum diselesaikan, turut mengambil bahagian dalam mesyuarat, mereka bimbang keputusan yang dibuat itu tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"Maka atas dasar itu, kami memberikan peluang kepada Bersatu sama ada mereka menjelaskan kepada kami keadaan sebenarnya ataupun mendapatkan penjelasan daripada RoS mengenai aduan itu. Sebelum daripada itu, kami tidak boleh panggil dan kami tidak akan panggil mesyuarat pada 16 Julai.

"Dah bagi notis. Saya ada rekod dalam telefon saya sebab saya hantar melalui melalui WhatsApp. Ada 'blue tick WhatsApp' saya kepada Setiausaha Agung Bersatu...bermaksud, dalam pengetahuan. Sehingga hari ini, tidak ada apa-apa penjelasan yang diberikan oleh Bersatu," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 15 Julai lalu mengumumkan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan itu tidak selari dengan agenda mesyuarat PN pada 16 Julai lalu yang antara lain bertujuan menentukan logo gabungan dan calon daripada parti-parti komponennya.

"Jadi, itu satu lagi alasan kenapa kami tidak perlu menjemput Bersatu untuk datang ke mesyuarat 16 Julai kerana agenda mesyuarat pertama, menentukan logo, yang kedua, menentukan calon daripada parti-parti.

"Jadi, oleh kerana Bersatu nak bertanding sendiri, tanding pergilah 36 kerusi pun, guna logo Bersatu, tak perlu lagilah panggil. Kalau kita panggil Bersatu datang, mereka sudah memutuskan guna logo sendiri," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!