Pendaftaran PN dibatalkan: Keputusan RoS bukti aduan Bersatu berasas

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Bersatu menyifatkan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai bukti aduan parti itu berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan berkenaan berasas.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, aduan yang dikemukakan pada 11 Ogos lalu bertujuan memastikan PN diuruskan berdasarkan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti serta mematuhi undang-undang dan perlembagaan parti.

Menurutnya, tindakan kepimpinan PN yang didakwa menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberikan pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu merupakan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan PN.

Beliau mendakwa, tindakan kepimpinan PN yang dipengerusikan Pas itu merupakan satu kesalahan serius yang boleh menjejaskan masa depan gabungan berkenaan.

“Kepimpinan PN yang mengetepikan amalan urus tadbir yang baik dan telus telah menimbulkan keadaan yang boleh disifatkan sebagai satu ancaman (threat) dan tekanan untuk melucutkan keanggotaan dan menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam PN melalui kuasa ‘veto’ oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohamed Azmin berkata, Bersatu menerima keputusan itu meskipun berat untuk parti berkenaan memandangkan ia merupakan anggota pengasas PN.

Beliau berkata, Bersatu akan meneliti keputusan penuh RoS sebelum membincangkan langkah seterusnya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Dalam pada itu, RoS dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan keputusan membatalkan pendaftaran PN dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti maklum balas yang dikemukakan gabungan itu pada 12 Oktober lalu.

Menurut RoS, alasan yang diberikan PN tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran seperti dinyatakan dalam notis bertarikh 22 September 2026, selain tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran gabungan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan memutuskan membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berkata, Bersatu akan meneliti keputusan penuh RoS sebelum membincangkan langkah seterusnya dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti.

Beliau berkata, perbincangan itu akan turut meneliti usaha membina semula keyakinan rakyat terhadap sebuah gabungan politik yang sederhana, membawa politik nilai dan membina gagasan baharu demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!