PN akan cabar keputusan RoS di mahkamah - Takiyuddin

Takiyuddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa.
Takiyuddin (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan perintah pembatalan gabungan parti itu yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) di mahkamah.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga akan memohon supaya pelaksanaan dan segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.

"PN menggesa Jabatan Peguam Negara menjelaskan tindakan ini berhubung pendirian jabatannya di mahkamah semasa pendengaran permohonan penagguhan PN pada Khamis ini.

"PN turut akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan belakangkan proses mahkamah," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi.

Menurutnya, keputusan membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum pendengaran permohonan menangguhkan notis ketidakpatuhan dan menggantung aktivitinya oleh RoS, menimbulkan persoalan serius tentang tujuan penggunaan kuasa dan penghormatan kerajaan terhadap proses kehakiman.

"Pada 6 Oktober lalu, RoS menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di mahkamah sebelum mahkamah menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober ini setelah Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes.

"PN telah melakukan permintaan bertulis pada 14 Oktober supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran tidak dijawab, manakala hujahan peguam negara semalam menyatakan bahawa proses pembatalan 'masih berjalan' tanpa memaklumkan bahawa pembatalan akan dibuat keesokan harinya (hari ini).

"Namun, sebelum pendengaran berlangsung pendaftaran PN dibatalkan sehingga keadaan yang menjadi pokok pertikaian berubah secara mendasar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, kerajaan yang menghormati kedaulatan undang-undang sepatutnya memberikan ruang kepada mahkamah untuk memutuskan permohonan tersebut dan menjelaskan mengapa tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu.

Beliau berkata, PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan itu menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide dan tujuan politiknya.

"Notis RoS dikeluarkan pada 22 September 2026, ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya dan pembatalan hanya sebelas hari sebelum penamaan calon.

"Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 juga bercanggah dengan pendirian bertulis Pendaftar pada tarikh tersebut bahawa Jabatannya 'tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan' sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai 'tidak memuaskan' tanpa alasan substantif.

"Pembatalan ini membawa kesan terhadap jutaan rakyat yang memberikan mandat kepada PN dan parti-parti anggotanya, selain menjejaskan kegiatan politik, harta parti dan kedudukan pemegang jawatan," katanya.

Beliau menambah, kuasa pentadbiran yang mempunyai implikasi besar terhadap pilihan rakyat dan proses demokrasi tidak seharusnya digunakan tanpa alasan yang jelas serta penghormatan terhadap penelitian kehakiman yang sedang berlangsung.

"PN mengecam tindakan ini sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang pilihan raya Melaka.

"Sebuah kerajaan yang yakin terhadap kesahihan tindakannya sepatutnya bersedia mempertahankan keputusan tersebut di hadapan hakim, bukannya mengubah kedudukan pihak-pihak ketika permohonan penangguhan bakal didengar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!