Bersama gesa Anwar jawab tiga perkara babit krisis kewangan Zetrix

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM – Parti Bersama Malaysia (Bersama) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiga perkara berkaitan krisis kewangan yang sedang dihadapi Zetrix AI Berhad (Zetrix), yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Berhad.

Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah jumlah pegangan saham Zetrix oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) setakat 1 April 2026.

Menurutnya, maklumat itu penting bagi menunjukkan tahap keterdedahan dana awam terhadap krisis kewangan yang dihadapi syarikat berkenaan.

Katanya, penjelasan itu turut perlu melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Maybank dan CIMB.

Rafizi berkata, Anwar juga perlu memaklumkan jumlah pegangan saham yang masih dimiliki dana-dana berkenaan setakat 20 Oktober serta jumlah kerugian yang ditanggung dana awam susulan kejatuhan harga saham Zetrix.

“Berapakah kerugian atas kertas bagi saham yang masih dipegang dan jumlah kerugian sebenar bagi saham yang dijual antara 1 April hingga 20 Oktober 2026 berbanding harga pembelian asal?

“Selain itu, syarikat manakah yang menjadi pembekal teknologi kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) selepas Zetrix melupuskan pegangan dalam HeiTech Padu Berhad dan apakah kesannya kepada pelaksanaan projek bertaraf keselamatan nasional itu?” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rafizi berkata, rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Anwar sebagai pemimpin yang memperjuangkan tatakelola baik untuk menjawab persoalan tersebut secara terbuka.

Beliau turut melampirkan laporan kewangan Zetrix yang menunjukkan harga penutupan saham syarikat itu pada 1 April 2026 ialah 75.5 sen sesaham.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, harga saham berkenaan merosot kepada lima sen sesaham pada 19 Oktober 2026, iaitu penyusutan sebanyak 93.4 peratus dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan laporan kewangan yang boleh diakses orang ramai, Rafizi memperincikan pegangan saham Zetrix oleh beberapa dana awam.

“KWSP memegang 67,674,000 saham setakat 1 April 2026, KWAP sebanyak 390,090,000 saham setakat 2 Oktober 2025 dan UJSB sebanyak 211,507,500 saham setakat 1 April 2026.

“Maklumat terkini pegangan dana-dana awam dalam Zetrix tidak diketahui kerana ia belum dilaporkan sehingga Laporan Tahunan Zetrix bagi tahun kewangan 2026 dimuktamadkan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan pegangan yang direkodkan pada Oktober 2025 dan April 2026, jumlah saham yang dimiliki ketiga-tiga dana awam itu adalah besar.

Menurut Rafizi, sekiranya KWSP, KWAP dan UJSB masih memegang saham Zetrix ketika kejatuhan mendadak berlaku bermula 28 Ogos lalu, mereka mungkin terlepas peluang untuk mengehadkan kerugian.

Beliau tidak menolak kemungkinan dana awam berkenaan berdepan potensi kerugian sehingga RM472 juta berdasarkan penyusutan nilai sebanyak 70.5 sen sesaham.

“Krisis kewangan yang melibatkan Zetrix melangkaui soal kerugian dana awam semata-mata.

“Sejak sebulan lalu, selain kegagalan membayar kutipan hasil kerajaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM314 juta, Zetrix juga terus berdepan masalah aliran tunai.

“Terbaharu, pelanggaran syarat sukuk RM2 bilion terbitan Zetrix yang sehingga kini masih belum diselesaikan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!