14 maut lombong emas haram runtuh di Colombia

BOGOTA - Seramai 14 orang maut, manakala tujuh lagi cedera selepas kawasan lombong emas haram runtuh di barat daya Colombia, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.
Kemalangan itu berlaku di kawasan luar bandar Chambero, bandar Santa Barbara de Iscuande yang terletak di wilayah Narino.
Gabenor Narino, Luis Alfonso Escobar berkata, operasi mencari dan menyelamat telah selesai dijalankan.
Menerusi hantaran di X, Escobar menyifatkan lombong emas berkenaan sebagai 'tidak formal'.
Jelasnya lagi, aktiviti perlombongan tidak formal dan tidak dikawal selia adalah perkara biasa di kawasan luar bandar Colombia.
"Ia disebabkan operasi perlombongan sering kekurangan infrastruktur, keselamatan tidak mencukupi sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
“Keutamaan kami sekarang adalah menyelamatkan nyawa, membantu keluarga mangsa dan memastikan tindak balas segera terhadap tragedi menyayat hati ini,” ujar beliau.
Pegawai tindak balas bencana Narino, Jorge Tovar Castillo pula memaklumkan, antara 12 hingga 15 pelombong lain dilaporkan masih hilang selepas kejadian tersebut.
"Pihak berkuasa perbandaran mengendalikan operasi tindak balas, namun usaha itu berdepan kesukaran komunikasi.
"Santa Barbara de Iscuande dikelilingi hutan hujan tebal dan hanya boleh diakses menggunakan bot atau pesawat kecil," katanya.
Pada Ogos lalu, 13 orang maut dalam kemalangan perlombongan yang sama di perbandaran Policarpa, yang juga terletak di Narino. - Agensi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
