Polis Indonesia sahkan penglibatan pihak asing dalam 98 kes kebakaran hutan

Penyiasat sedang mengumpul bukti dan dijangka menamakan suspek tidak lama lagi, termasuk pemilik syarikat dan pemegang saham yang boleh dipertanggungjawabkan atas kebakaran hutan di Indonesia. Foto AFP
Penyiasat sedang mengumpul bukti dan dijangka menamakan suspek tidak lama lagi, termasuk pemilik syarikat dan pemegang saham yang boleh dipertanggungjawabkan atas kebakaran hutan di Indonesia. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia mengesahkan penglibatan pihak asing, termasuk dari negara jiran, dalam kes korporat berkaitan kebakaran hutan dan tanah, dengan 98 kes kini dalam siasatan.

Ketua Polis Negara, Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, Badan Penyiasatan Jenayah (Bareskrim) sedang berusaha mengenal pasti bentuk penglibatan itu serta pihak yang bertanggungjawab.

"Daripada 98 kes korporat yang sedang kita siasat, terdapat penglibatan pihak asing, namun memandangkan siasatan masih dijalankan, kita masih menentukan kes yang melibatkan pelaburan asing atau pihak asing dan yang tidak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Terhad bersama Presiden Prabowo Subianto di Jakarta pada Isnin.

Suyudi berkata, penyiasat sedang mengumpul bukti dan dijangka menamakan suspek tidak lama lagi, termasuk pemilik syarikat dan pemegang saham yang boleh dipertanggungjawabkan atas kebakaran itu.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan, Dudung Abdurachman menggesa supaya operasi pemadaman kebakaran dipertingkat tanpa menunggu hujan, dengan menekankan keperluan untuk tindakan segera dan berterusan.

"Presiden mengarahkan agar penggerakan pasukan dan anggota, termasuk tentera Indonesia, polis, Jabatan Perhutanan dan orang awam dipertingkat. Ini mesti dilaksanakan secara besar-besaran, terukur dan tanpa bertangguh kerana situasi ini telah menjadi sangat mengganggu,” katanya.

Dudung turut berkata, Indonesia telah memberi maklum balas terhadap tawaran bantuan luar, termasuk daripada Malaysia dan Singapura, dengan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyelaras pengaturan teknikal bagi cadangan sokongan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau pada sidang media terdahulu berkata, bantuan luar perlu menunggu sehingga kerajaan mengisytiharkan kebakaran itu sebagai bencana nasional, satu langkah yang belum diambil memandangkan Indonesia masih berupaya mengendalikan krisis berkenaan menggunakan sumber sendiri. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!