Pekebun rugi puluhan ribu, kebun sawit 'dikerjakan' gajah

SUNGAI SIPUT - Sekumpulan pekebun di Kampung Perlop 1 di sini terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit berikutan kehadiran kawanan gajah liar yang memusnahkan kebun sawit mereka sejak dua bulan lalu.
Gangguan itu menjejaskan kira-kira 80 hektar kebun sawit diusahakan 18 pekebun yang menjadi sumber pendapatan utama mereka.
Bagi Mohd Faiz Ahmad, 40, berkata, gangguan gajah liar menyebabkan pekebun terpaksa mengeluarkan modal berulang kali untuk menanam semula pokok sawit yang musnah.
Menurutnya, daripada kira-kira 550 pokok sawit yang ditanam di kebunnya seluas 4 hektar, sebanyak 120 pokok telah musnah meskipun dia sudah empat kali melakukan penanaman semula.
"Anggaran kerugian saya sudah mencecah RM17,000, termasuk kos tanaman, tenaga kerja, racun dan perbelanjaan lain.
"Saya sudah tidak larat hendak menanggung semua ini. Bukan saya seorang sahaja yang mengalami masalah ini, penduduk lain pun turut terjejas," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Mohd Faiz mengakui pernah terserempak dengan haiwan berkenaan ketika berada di kebun pada waktu pagi, namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kediamannya yang berhampiran kebun menyebabkan dia terpaksa menghalau gajah hampir setiap malam bagi mengelakkan haiwan berkenaan terus merosakkan tanaman.
"Sebulan itu boleh dikatakan 12 kali gajah masuk, memang kerap sangat. Baru-baru ini pun ada lagi. kira-kira dua minggu lalu.
"Arwah bapa saya sudah puluhan tahun berada di sini, tetapi gangguan seperti ini tidak berlaku dahulu. Dalam tahun ni, keadaan semakin teruk," katanya.

Seorang lagi pekebun, Mastura Yusuf, 65, berkata, gangguan gajah liar menyebabkan lebih separuh daripada kira-kira 600 pokok sawit yang diusahakannya di kawasan seluas 12 hektar musnah.
Menurutnya, hanya kira-kira 300 pokok masih tinggal, sedangkan tanaman yang diusahakan sejak 2002 itu sudah mula mengeluarkan hasil dan menjadi antara sumber pendapatan utamanya.
"Pokok yang rosak itu kebanyakannya baru berusia tiga tahun dan sudah mula berbuah. Saya sudah empat kali melakukan penanaman semula, tetapi gajah tetap datang dan merosakkannya," katanya.
Mastura berharap, pihak berwajib dapat mencari penyelesaian segera bagi mengelakkan kerugian terus bertambah.
Katanya, ketika ini, pemilik kebun semakin kehilangan modal untuk mengusahakan semula tanaman mereka.
"Yang kami harapkan, ada pihak atau agensi kerajaan yang dapat membantu pekebun yang terjejas, sekurang-kurangnya untuk meringankan kerugian yang ditanggung," katanya.

Sementara itu, Muhammad Azlan Adenan, 42, berkata, kebun sawit miliknya seluas enam hektar turut mengalami kerosakan akibat gangguan haiwan berkenaan, termasuk pokok yang sudah berusia lapan tahun.
Katanya, kacau ganggu oleh haiwan tersebut bukan sahaja merosakkan daun, malah menarik pucuk pokok sehingga menjejaskan pertumbuhan dan menyebabkan tanaman berkenaan mati.
"Anggaran kerugian saya sudah melebihi RM20,000, termasuk kos menanam semula pokok yang rosak. Apabila gajah datang merosakkan tanaman, kita terpaksa mengeluarkan modal sekali lagi," katanya.
Beliau berkata, kehadiran gajah dapat diketahui melalui kesan tapak kaki, najis dan pelepah sawit yang ditarik atau dirosakkan.
Tambahnya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah beberapa kali datang melakukan pemantauan termasuk menggunakan dron di kawasan berkenaan, namun gajah sukar dikesan ketika operasi dijalankan.
"Ketika mereka datang, gajah tiada di sini dan bergerak ke kawasan lebih tinggi. Tetapi sebaik sahaja pemantauan selesai, haiwan itu datang semula pada keesokan harinya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

