Suami terlantar selepas kemalangan, ibu lima anak bergelut sara keluarga

ALOR SETAR – Tujuh sekeluarga di Taman Sri Indah di sini terpaksa mencatu makanan dengan hanya mampu makan nasi sekali sehari dan menjadikan biskut sebagai alas perut pada waktu malam.
Itulah kesukaran terpaksa dilalui mereka selepas ketua keluarga, Mohd Wira Zakaria, 40, hanya terlantar selepas kemalangan langgar lari pada 31 Ogos lalu.
Siti Aliyaa Hani Abdul Rahman, 36, berkata, kemalangan pada malam sambutan Hari Kebangsaan itu menyebabkan suaminya mengalami kecederaan otak serius sehingga koma hampir sebulan.

Menurutnya, suaminya turut disahkan mengalami kerosakan buah pinggang tahap lima sekali gus memerlukan penjagaan rapi di rumah.
“Saya tidak dapat dapat keluar mencari rezeki dengan berniaga roti canai seperti sebelum ini kerana perlu menjaga suaminya yang memerlukan susu khas setiap tiga jam serta bantuan untuk membuang kahak dengan kerap.
“Suami dan anak saya dilanggar ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar tepung kepada saya di gerai di pasar borong Alor Setar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Cerita Siti Aliyaa Hani, motosikal yang dinaiki suami dan anaknya dirempuh sebuah kereta menyebabkan suami mengalami kecederaan serius pada otak.
Jelasnya, Mohd Wira dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini selama 21 hari sebelum dipindahkan ke wad biasa selama 10 hari manakala anaknya yang berusia tujuh tahun hanya mengalami luka ringan.
“Kira-kira RM1,500 sebulan perlu disediakan untuk membeli susu khas, tiub, lampin pakai buang dan peralatan penjagaan suaminya.
“Dalam masa sama, saya perlu memikirkan bayaran sewa rumah sebanyak RM700 sebulan selain menanggung keperluan lima anak berusia antara enam hingga 18 tahun,” ujarnya.
Tambah Siti Aliyaa Hani, doktor masih belum dapat memastikan sama ada suaminya mampu berjalan semula namun dia melihat ada sedikit pergerakan pada mata dan kaki suaminya.
Menurutnya, perkembangan positif itu memberikan sedikit harapan untuk melihat suaminya sembuh.
“Keluarga saya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 dan zakat RM500 sebulan tapi jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan perbelanjaan.
“Dengan keadaan sekarang ini kami terpaksa mencatu makanan. Nasi hanya mampu dimakan sekali sehari dan pada waktu malam kami makan biskut sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Siti Aliyaa Hani, suaminya pernah terbabit dalam kemalangan kira-kira tujuh tahun lalu sehingga kaki kanannya dipasang besi.
Menurutnya, anak sulungnya, Muhammad Arif Haikal, 18, pula mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan akibat dilanggar pemandu mabuk tahun lalu.

“Anak sulung saya mengalami kecederaan pada muka, retak tulang pipi, masalah penglihatan serta patah kedua-dua tulang betis dan kini terpaksa menangguhkan pengajian di kolej vokasional.
“Dia masih memerlukan rawatan susulan serta pembedahan kelopak mata tapi tidak pasti lagi bila dia akan dipanggil semula oleh pihak hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Siti Aliyaa kini mengambil alih tugas ketua keluarga untuk menyara anak berusia antara enam hingga 18 tahun termasuk dua anak lelaki berusia 10 dan tujuh tahun yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pendengaran.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Siti Aliyaa Hani boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam bernombor 02105020393688.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

