Rakyat Digital: Laluan rakyat kuasai AI

AI semakin dekat dengan kehidupan kita.
Daripada membantu menghasilkan idea dan kandungan, mencari maklumat, memudahkan tugasan hinggalah menyokong urusan kerja dan perniagaan, teknologi itu kini bukan lagi sesuatu yang hanya dibincangkan oleh golongan teknologis.
Persoalannya, dalam dunia yang berubah begitu pantas, di mana hendak bermula?
Nak belajar AI tetapi tidak tahu kursus mana sesuai? Mahu tambah kemahiran digital tetapi pening hendak pilih program? Atau mungkin sudah lama terfikir untuk belajar sesuatu yang baharu, cuma tidak tahu platform yang boleh dijadikan titik permulaan?
Di sinilah Rakyat Digital boleh menjadi pilihan.
Ia merupakan hab pembelajaran digital yang menghimpunkan pelbagai peluang pembelajaran, kemahiran serta penggunaan teknologi digital dan AI dalam satu platform.
Mudah cerita, kalau selama ini peluang belajar kemahiran digital terasa berselerak di sana sini, Rakyat Digital cuba menyatukannya supaya rakyat lebih mudah mencari laluan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
Satu platform untuk bina kemahiran digital
Satu perkara yang menarik tentang Rakyat Digital ialah pengguna tidak perlu datang dengan kemahiran teknologi yang tinggi.
Pelajar yang mahu mengenali dunia AI, pekerja yang mahu tambah kemahiran, usahawan yang mahu memahami teknologi untuk perniagaan atau profesional yang mahu mengembangkan keupayaan digital semuanya mempunyai laluan masing-masing.

Malah, pendekatan Rakyat Digital dibina secara bertahap menerusi tiga perkara mudah iaitu Kesedaran (Awareness), Akses (Access) dan Penerimagunaan (Adoption).
Bermula dengan memahami teknologi, kemudian mendapatkan akses kepada pembelajaran dan akhirnya menggunakan teknologi itu secara lebih praktikal.
Jadi, ia bukan sekadar soal belajar AI.
Lebih penting, pengguna boleh membina keyakinan untuk menggunakan teknologi dalam kehidupan sebenar.
Laluan pembelajaran tersedia mengikut tahap kemahiran
Bagi yang baru hendak berjinak-jinak dengan dunia digital, Hab Literasi Digital mungkin tempat paling sesuai untuk bermula.

Hab ini menyediakan kursus percuma yang membantu rakyat membina asas literasi digital, meningkatkan kesedaran tentang AI dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Peserta yang berjaya menamatkan kursus juga akan menerima Sijil Penyertaan.
Sudah ada asas dan mahu pergi lebih jauh?
Hab Kemahiran Digital pula menghubungkan rakyat dengan penyedia latihan yang menawarkan pelbagai program kemahiran digital, merangkumi kemahiran teknikal dan bukan teknikal.
Melalui hab ini, pengguna boleh meneroka pelbagai peluang upskilling dan reskilling yang bersesuaian dengan keperluan serta hala tuju kerjaya masing-masing.
Lebih menarik, pengguna boleh memilih program yang sesuai berdasarkan bidang, kemahiran dan keperluan pembelajaran mereka.
Untuk kemudahan pengguna, Hab Literasi Digital boleh diakses secara percuma.
Bagi program di Hab Kemahiran Digital pula, terdapat kursus yang percuma dan ada juga yang ditawarkan dengan bayaran, bergantung kepada program serta penyedia latihan.
Jadi, pengguna digalakkan menyemak maklumat setiap program termasuk syarat penyertaan dan yuran, supaya dapat memilih latihan yang paling sesuai dengan keperluan dan kemampuan masing-masing.
Akses pembelajaran global untuk tambah nilai diri
Bagi mereka yang mahu meneroka ilmu daripada universiti dan pakar industri di peringkat antarabangsa, Pas Pembelajaran Global menawarkan satu lagi pilihan.
Melalui inisiatif ini, rakyat Malaysia yang mempunyai MyDigital ID boleh mendapat pas percuma untuk mengikuti kursus di platform pembelajaran global, Coursera, termasuk kursus dan pensijilan profesional.
Terdapat, lebih 16,000 kursus daripada universiti global dan pakar industri tersedia untuk diterokai. Peserta akan mendapat akses selama tiga bulan dan boleh memperoleh sijil bagi kursus yang berjaya diselesaikan dalam tempoh tersebut.
Ini adalah peluang untuk belajar perkara baharu mengikut minat dan keperluan sendiri tanpa perlu mengganggu rutin harian kerana pembelajaran dilakukan secara dalam talian.
Siaran media Kementerian Digital turut memaklumkan bahawa Pas Pembelajaran Global ini dibiayai penuh oleh Kerajaan Malaysia, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Peluang AI khusus untuk belia Malaysia
Kalau berumur antara 18 hingga 30 tahun, ada satu lagi peluang yang mungkin menarik perhatian.

Menerusi AI Untuk Rakyat, sehingga 100,000 belia Malaysia yang layak boleh menerima akses percuma selama tiga bulan kepada aplikasi AI terpilih selepas melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan.
Program ini telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Ogos 2026, tertakluk kepada pelaksanaan secara berfasa serta terma dan syarat.

Peserta perlu melengkapkan enam modul yang ditetapkan iaitu Negara AI 2030: Pendekatan MADANI, CyberSAFE untuk RAKYAT, Generatif AI, Keselamatan AI, Agentik AI untuk SEMUA serta Cloud untuk RAKYAT.
Setiap modul membawa fokus berbeza - daripada penggunaan AI secara selamat dan bertanggungjawab, melindungi data peribadi serta memahami AI generatif, hinggalah mengenali AI agentik, penggunaan teknologi awan dan penerapan nilai MADANI dalam tindakan digital harian.
Maksudnya, peserta bukan sekadar belajar menggunakan AI, tetapi turut memahami bagaimana teknologi itu digunakan dengan lebih selamat, bertanggungjawab dan berkesan.
Pelbagai golongan boleh manfaatkan Rakyat Digital
Rakyat Digital bukan dibina untuk satu kelompok sahaja.
Kalau masih belajar, platform ini boleh menjadi ruang untuk menambah pengetahuan dan kemahiran digital sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Kalau sudah bekerja, peluang upskilling dan reskilling boleh diteroka bagi menyesuaikan kemahiran dengan perubahan dunia pekerjaan.
Kalau berniaga pula, kemahiran digital dan teknologi boleh diteroka mengikut keperluan perniagaan.
Bagi profesional dan pemimpin organisasi, terdapat program seperti Executive Digital Leadership Programme (EDLP) yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan serta transformasi digital dalam organisasi. Program itu terbuka kepada eksekutif pengurusan pertengahan dan kanan daripada sektor awam serta swasta, termasuk syarikat pemula, PKS dan PMKS.
Pendek kata, tidak kira sama ada baru hendak mengenali teknologi atau sudah biasa dengannya, ada laluan yang boleh diterokai.
Penilaian AI membantu tentukan langkah pertama
Penilaian AI ialah penilaian ringkas untuk membantu pengguna yang tidak pasti bagaimana untuk bermula dengan AI, dengan mengenal pasti tahap pengetahuan dan keupayaan mereka.

Daripada keputusan itu, pengguna boleh mengenal pasti kursus yang bersesuaian sebelum memilih program mengikut keperluan dan syarat kelayakan.
Portal juga boleh diterokai tanpa perlu log masuk terlebih dahulu.
Namun, jika mahu mendaftar kursus, mengakses kandungan pembelajaran, menjejaki kemajuan atau mendapatkan sijil, pengguna perlu mendaftar menggunakan MyDigital ID.
Hab Literasi Digital menawarkan kursus dalam empat (4) Bahasa, manakala Hab Kemahiran Digital menyediakan dua (2) Bahasa. Ini memberi kemudahan kepada pengguna untuk belajar dalam bahasa yang paling selesa bagi mereka.
Kemahiran digital semakin penting dalam kehidupan harian
Hakikatnya, teknologi akan terus berubah.
Apa yang dianggap kemahiran tambahan hari ini mungkin menjadi keperluan biasa pada masa akan datang.
Sebab itu pembelajaran digital tidak sepatutnya dilihat sebagai sesuatu yang hanya sesuai untuk golongan IT atau mereka yang bekerja dalam bidang teknologi.
Seorang pelajar mungkin menggunakan AI untuk membantu proses pembelajaran.
Seorang pekerja pula boleh memanfaatkannya untuk meningkatkan produktiviti, manakala usahawan boleh meneroka teknologi bagi membantu mengembangkan perniagaan.
Yang penting, tahu apa yang hendak dipelajari dan berani untuk bermula.
Rakyat Digital memudahkan langkah pertama itu dengan menghimpunkan pelbagai pilihan pembelajaran, kemahiran dan peluang penerimagunaan teknologi dalam satu platform.
Langkah ke arah dunia digital tidak semestinya perlu bermula dengan kemahiran yang tinggi.
Kadangkala, perubahan besar bermula dengan satu langkah kecil - mengenal pasti kemahiran yang diperlukan, mengikuti pembelajaran yang sesuai dan berani mencuba sesuatu yang baharu.
Jadi, jika selama ini terdetik persoalan, “Aku nak belajar AI, tapi tak tahu nak mula dari mana,” mungkin inilah masanya untuk meneroka, belajar dan mengambil langkah pertama ke arah menjadi lebih yakin dalam dunia digital.
Layari portal rakyatdigital.gov.my, tengok pilihan yang ada dan mulakan perjalanan digital sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
