Jerebu: Semua sekolah di Selangor dibuka esok, tiada aktiviti luar bilik darjah

SHAH ALAM - Semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) beroperasi seperti biasa pada Isnin.
JPN Selangor dalam kenyataan berkata, bagaimanapun semua aktiviti luar ditangguhkan dan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka.
"Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
"Dalam masa sama pihak pentadbir sekolah hendaklah sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada Jabatan Alam Sekitar dan memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi," kata kenyataan itu pada Ahad.
Tambah JPN Selangor, ibu bapa, penjaga dan warga sekolah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk saluran komunikasi rasmi JPN Selangor atau pihak sekolah.
"Ia bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan terkini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

