PAJPBM gesa jentera berat dimasukkan dalam SKDS 2.0, BUDI Diesel

Barisan kepimpinan PAJPBM bergambar sebaik selesai sidang akhbar baru-baru ini.
Barisan kepimpinan PAJPBM bergambar sebaik selesai sidang akhbar baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa mempertimbangkan semula perluasan subsidi diesel bersasar kepada kategori jentera pembinaan berat luar jalan atau' off-road' bagi menampung lonjakan kos operasi tinggi susulan kenaikan bahan api berkenaan.

Pegawai Hal Ehwal Komersial Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia (PAJPBM), V Subramaniam berkata, lonjakan kos operasi ketika ini memberi kesan besar kepada industri berkenaan.

Menurutnya, pengusaha jentera berat kini terpaksa menanggung kos diesel pada harga pasaran penuh sekitar RM3.35 seliter, berbanding sektor logistik dan pengangkutan yang menikmati harga di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) pada RM2.15 dan BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter.

"Anggaran industri menunjukkan sektor ini menggunakan lebih 700 juta liter diesel setahun. Ramai ahli kami terikat dengan kontrak harga tetap yang ditandatangani satu hingga dua tahun lepas.

"Namun, terpaksa menyerap kenaikan kos operasi sehingga 50 peratus sejak penyasaran subsidi diesel dilaksanakan pada 2024. Tidak sedikit yang terpaksa menghentikan operasi," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, PAJPBM turut mengemukakan tiga cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan bagi membantu industri berkenaan.

Menurutnya, antara cadangan yang dikemukakan ialah memperluaskan skop SKDS dengan memasukkan jentera pembinaan off-road seperti jengkaut, kren dan pelantar cerucuk ke dalam kategori kelayakan SKDS 2.0.

Cadangan lain ialah memberi lanjutan masa (EOT) iaitu pertimbangan pelanjutan tanpa Denda Ganti Rugi Tertentu (LAD) bagi projek yang terkesan secara langsung.

"Selain itu, PAJPBM turut mencadangkan supaya mengaktifkan klausa Variation of Price (VOP) bagi kontrak kerja kerajaan untuk melindungi kontraktor G2-G4," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Subramaniam turut membangkitkan isu kekurangan operator mahir bertauliah yang menjadi antara isu besar dihadapi PAJPBM ketika ini.

Katanya, kekurangan tenaga mahir tempatan yang bertauliah kini berada di tahap membimbangkan dan memerlukan perhatian serius daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!