Bot bertembung: Pengendali bot direman empat hari

JOHOR BAHRU - Seorang pengendali bot penumpang direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan dua bot penumpang di Kuala Sungai Mersing.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, lelaki warga tempatan berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa.
Menurutnya, suspek merupakan pengendali salah sebuah bot yang terlibat dalam kemalangan berkenaan.
“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai rekod membabitkan kesalahan narkotik, namun ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atasnya didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
“Suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ab Rahaman berkata, mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula 2 hingga 5 September bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai dan Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana menjalankan perahu dengan gopoh.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

