Malaysia Airlines raih dua anugerah MICE terbaik dunia, Asia

Malaysia Airlines berada dalam kelas tersendiri apabila meraih dua anugerah MICE terbaik dunia, Asia
Malaysia Airlines berada dalam kelas tersendiri apabila meraih dua anugerah MICE terbaik dunia, Asia
A
A
A

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines mencipta nama apabila dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) Terbaik Dunia dan Asia 2026 pada World MICE Awards 2026.

Pengiktirafan itu disampaikan di Princess Grand Jamaica pada 12 Oktober lalu, sekali gus mengiktiraf peranan syarikat penerbangan tersebut dalam menyokong sektor MICE antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Syarikat Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong berkata, kejayaan itu menjadi satu pencapaian penting buat Malaysia Airlines untuk memperkukuh hubungan dengan rakan niaga dalam sektor pelancongan.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut merupakan usaha bersama pasukan di seluruh kumpulan yang bekerjasama untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar dan dipercayai mengikut piawaian Hospitaliti Malaysia.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan keyakinan rakan kongsi, memperkukuh kerjasama dan memastikan pertumbuhan mampan bagi syarikat penerbangan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan Malaysia Airlines sebagai rakan kongsi kepada pemain industri pelancongan, selain membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam sektor acara perniagaan dan perjalanan korporat.

Pada masa sama, Malaysia Airlines dan MAG turut menerima beberapa pengiktirafan lain melibatkan aspek pengalaman pelanggan serta reputasi jenama.

Antaranya, Pusat Hubungan Pelanggan Global MAG menerima 'Prestige Recognition for Top CX Performance' pada 'Contact Centre Association of Malaysia Industry Excellence Awards 2026'.

Malaysia Airlines pula menerima hadiah utama dalam kategori syarikat penerbangan pada 'The Best Brand Chosen by Consumers 2026' anjuran JoongAng Ilbo di Korea Selatan dan 'Outstanding Airline Brand of the Year' pada 'Business Focus Awards 2026' di Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

Bryan berkata, pencapaian itu menyokong Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0) yang menyasarkan Malaysia Airlines berada dalam kelompok 10 syarikat penerbangan terbaik dunia menjelang 2030.

Menurut beliau, daripada aspek operasi Malaysia Airlines merekodkan purata prestasi ketepatan masa (OTP) sebanyak 91.70 peratus setakat tahun ini, dengan pencapaian tertinggi 94.16 peratus pada September lalu.

Usaha itu meliputi pelaburan berterusan dalam produk, armada, rangkaian, operasi dan pengalaman pelanggan bagi meningkatkan daya saing serta pertumbuhan jangka panjang syarikat penerbangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!