Selangor II harapan baharu Luqman Hakim

Luqman Hakim. - Foto: Football Association of Malaysia (Official)
Luqman Hakim. - Foto: Football Association of Malaysia (Official)
A
A
A
PELUANG menjalani latihan bersama skuad Liga Premier, Selangor II menjadi medan terbaik untuk bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsuddin mengekalkan kecergasan sebelum menyertai kelab Liga Profesional Belgium, KV Kortrijk setelah wabak Covid-19 pulih.

Penyerang Bawah 19 (B-19) kebangsaan itu menegaskan peluang untuk beraksi bersama Selangor II musim ini sekurang-kurangnya memberi harapan baharu untuknya meningkatkan prestasi dan tidak hanya menghabiskan masa dengan menunggu sahaja.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk bersama Selangor II kerana sekurang-kurangnya saya dapat lihat hala tuju saya tahun ini.

“Walaupun tak sempat beraksi bersama pasukan, apabila diberi perancangan latihan yang teratur, saya bersemangat juga untuk mempersiapkan diri kerana selepas ini saya ingin fokus kepada Selangor II dahulu,” jelasnya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Dalam pada itu, Luqman Hakim mengakui beliau perlu bekerja lebih keras dengan menjalani latihan sendiri di rumah kerana menganggap dirinya berbeza dengan pemain lain yang sekurang-kurangnya sudah pernah beraksi pada awal musim.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi pengalaman melakukan kerja penghantaran barang sebagai kerja sampingan pada waktu lapang sekiranya tidak berlatih bagi membantu rakannya.

“Sekarang saya tiap-tiap hari melakukan latihan ringan di rumah dan rakan-rakan juga ada membantu. Disebabkan saya sudah lama tidak beraksi di padang, jadi memang kena lakukan latihan lebih dan kita pun tidak tahu bila boleh akan beraksi balik.

“Cuma sekali-sekala saya ada juga keluar melakukan penghantaran barang kalau ada waktu lapang kerana itu sahajalah yang mampu saya buat untuk menghabiskan masa sekarang ini,” katanya yang merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, sebelum hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan wabak Covid-19.
Artikel Berkaitan:


Beliau sebelum ini mencipta sejarah selepas menjadi pemain pertama Malaysia yang ditawarkan kontrak beraksi bersama kelab KV Kortrijk selama lima tahun bermula musim ini.

Kelab Cardiff City dan KV Kortijk dimiliki oleh ahli perniagaan terkemuka negara, Tan Sri Vincent Tan.