Siasat aliran kewangan, aset sindiket seludup migran - JIM

PUTRAJAYA - Siasatan kewangan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengenal pasti aliran wang, penerima manfaat dan pihak yang dipercayai memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram sindiket penyeludupan migran.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap usaha mengesan aliran kewangan dan aset yang disyaki mempunyai kaitan dengan aktiviti penyeludupan migran serta kesalahan lain di bawah bidang kuasa jabatan.
"Usaha ini turut dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi penguatkuasaan berkaitan.
"JIM akan terus memberi perhatian kepada sebarang petunjuk berkaitan aliran kewangan dan hasil aktiviti haram yang berada dalam skop bidang kuasa jabatan," katanya kepada Sinar Harian.
Isnin lalu, laporan khas Sinar Harian mendedahkan transit antarabangsa melalui lapangan terbang utama negara menjadi modus operandi terkini sindiket penyeludupan migran.
Sindiket penyeludupan dan pemerdangangan orang yang dikesan JIM kini semakin kompleks, bertingkat (multi-layered) dan sering mengubah modus operandi bagi menghilangkan jejak risikan oleh pihak berkuasa.
Bahkan, sejak 2024, JIM memberkas seramai 105 ahli sindiket penyeludupan migran membabitkan pelbagai kumpulan antaranya 'Ali Rohingya', 'Pade Ajak' serta sindiket 'Iqbal'.
Antara sindiket yang ditumpaskan dikenal pasti berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, menjadikan penempatan terpencil sebagai safehouse transit selain mendalangi laluan sempadan darat Kelantan (Sungai Golok) untuk membawa migran ke Lembah Klang.
Laporan eksklusif itu juga mendedahkan suspek yang diberkas memainkan pelbagai peranan iaitu dalang, tekong laut atau darat, transporter, penyedia rumah perlindungan serta ejen perekrut.
Berikutan itu, jelas Zakaria lagi, sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap aset yang disyaki berkaitan dengan aktiviti haram, termasuk pembekuan, penyitaan dan pelucuthakan akan dilaksanakan berdasarkan bukti serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tegasnya, JIM akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi.
"Ini bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan, berintegriti dan selaras dengan undang-undang negara," ujarnya.
End..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
