Chelsea buru Coutinho

5
5
A
A
A

KELAB Liga Perdana Inggeris, Chelsea dilaporkan semakin hampir untuk membawa pemain Barcelona, Philippe Coutinho ke Stamford Bridge musim depan.

Memetik laporan media antarabangsa, rundingan antara kelab itu dan pemain kelahiran Brazil tersebut sedang berjalan dan memasuki fasa terakhir sebelum dimuktamadkan.

"Laporan menyatakan Barcelona mahu mendapatkan kembali jumlah dana yang dilaburkan ke atas Coutinho semasa dibeli daripada Liverpool. Namun, ia dijangka gagal berdasarkan prestasi semasa pemain itu.

"Coutinho kemungkinan akan dijual sekitar £79 juta atau lebih rendah sehingga £66 juta memandangkan Barcelona terdesak untuk mendapatkan wang bagi membeli pemain Inter Milan Lautaro Martinez," kata laporan itu.

Coutinho gagal menyerlah seperti diharapkan bersama Barcelona sejak berpindah dari Liverpool pada 2018.

Akibat gagal mempamerkan prestasi memuaskan itu, dia dipinjamkan ke kelab Jerman, Bayern Munich dan menjaringkan lapan gol dan mencipta enam bantuan gol sebelum liga tersebut ditangguhkan akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, prestasinya tidak cukup untuk meyakinkan Bayern untuk membeli Coutinho dengan kos yang perlu dikeluarkan kelab Jerman itu sekitar £70 juta untuk mengaktifkan klausa perpindahan.

Ia sekali gus membuka pintu buat Chelsea mendapatkan pemain berusia 27 tahun itu dengan pengendali The Blues, Frank Lampard pernah mengiktiraf Coutinho sebagai pemain hebat dan mampu membawa pasukan itu kembali meraih kegemilangan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, pengendali Barcelona, Quique Setien tidak menolak kemungkina Coutinho berpindah dari kelab itu.

"Jika kena dengan harganya, kami terpaksa melepaskan dia. Saya melihat Coutinho seorang pemain yang bagus.

"Buat masa sekarang dia masih pemain Barcelona dan pasukan yang mahu mendapatkannya perlu membayar klausa perpindahan. Tetapi, saya rasa Coutinho boleh terus berada di sini. Tiada masalah," katanya.