Karangkraf diiktiraf organisasi ikonik di pentas antarabangsa

KUALA LUMPUR – Pengiktirafan di peringkat antarabangsa terhadap Karangkraf menerusi Anugerah Organisasi Ikonik yang Membina Dunia Lebih Baik untuk Semua menjadi penghargaan bermakna terhadap perjalanan organisasi media itu sepanjang 48 tahun dalam industri penerbitan.
Pengerusinya, Firdaus Hussamuddin berkata, pengiktirafan yang diterima daripada Women Economic Forum (WEF) itu di luar jangkaan, sekali gus menghargai usaha dan sumbangan Karangkraf sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) atas pengiktirafan yang diberikan kepada Karangkraf.
"Kita pun tidak sangka usaha selama 48 tahun ini dipandang dan diiktiraf untuk melayakkan kami menerima anugerah ini,” katanya.
Karangkraf menerima anugerah itu sempena Annual WEF and G100 Global Meet 2026 di International Youth Centre, Kuala Lumpur pada Rabu.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Suriani Ahmad.
Suriani berkata, pemerkasaan ekonomi wanita bukan sahaja memberikan manfaat kepada golongan itu, malah turut memperkukuh institusi keluarga dan komuniti setempat.
Beliau berkata, wanita di kawasan luar bandar memainkan peranan penting dalam pembangunan negara menerusi pelbagai bidang, termasuk keusahawanan, pertanian, penghasilan produk tempatan, kraftangan dan perniagaan digital.
Menurutnya, banyak perniagaan wanita bermula secara kecil-kecilan dari rumah dan komuniti sebelum berpotensi berkembang menjadi perusahaan mampan yang mampu menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekonomi setempat.
"Oleh itu, memperkasa wanita juga bermakna memperkasa komuniti,” katanya ketika berucap pada program itu.

Suriani memberitahu bahawa wanita, khususnya di kawasan luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat kemudahan, perlu diberikan akses lebih luas kepada pembiayaan, teknologi, kemahiran, pasaran dan rangkaian perniagaan bagi membolehkan mereka menyertai pertumbuhan ekonomi secara bermakna.
Beliau berkata, jaringan yang dibentuk menerusi WEF dan G100 juga perlu diterjemahkan kepada kerjasama strategik yang menghasilkan tindakan serta impak yang boleh diukur, bukan sekadar pertukaran maklumat perniagaan.
Katanya, Malaysia turut mengalu-alukan kerjasama dengan delegasi antarabangsa bagi membuka pasaran baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan lebih banyak ruang kepada perniagaan yang diterajui wanita untuk berkembang.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah yang diiktiraf atas pencapaian, kepimpinan dan sumbangan mereka dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Suriani berkata, kejayaan forum itu tidak seharusnya diukur berdasarkan perbincangan yang berlangsung semata-mata, sebaliknya melalui pelaksanaan inisiatif dan kerjasama yang memberikan manfaat nyata kepada wanita, keluarga serta komuniti.
Beliau berkata, pembangunan masa depan memerlukan pertumbuhan ekonomi yang inklusif, keusahawanan yang membuka peluang, teknologi yang memperkasa masyarakat serta kepimpinan yang mengimbangi cita-cita dengan keprihatinan.
"Apabila wanita diperkasa untuk memimpin, komuniti menjadi lebih kuat dan secara tidak langsung ekonomi menjadi lebih berdaya tahan.
"Apabila kita bekerjasama merentasi sempadan, kita mampu mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

