Kebakaran di syarikat kimia Ulsan, kira-kira 7,000 pekerja dipindahkan

Pihak bomba mengerahkan kira-kira 200 anggota dan tiga helikopter bagi memadamkan kebakaran. - Foto: Agensi
Pihak bomba mengerahkan kira-kira 200 anggota dan tiga helikopter bagi memadamkan kebakaran. - Foto: Agensi
A
A
A

ULSAN (Korea Selatan) - Kebakaran berlaku di sebuah syarikat pengeluar bahan kimia di bandar Ulsan, tenggara Korea Selatan pada Rabu, menyebabkan kira-kira 7,000 pekerja di kawasan berhampiran terpaksa dipindahkan, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pegawai.

Menurut Ibu Pejabat Bomba Ulsan, kebakaran yang bermula pada 9.41 pagi itu dipercayai berpunca daripada sebuah tangki simpanan di kawasan terbuka yang mengandungi 8,000 liter toluena, sejenis bahan mudah terbakar.

Kejadian itu menyebabkan pihak bomba mengerahkan kira-kira 200 anggota dan tiga helikopter bagi memadamkan kebakaran.

Kesemua 16 pekerja di lokasi kejadian berjaya menyelamatkan diri, manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Asap tebal daripada kebakaran itu turut menyebabkan syarikat penapisan minyak S-OIL menggantung sebahagian operasi projek petrokimia Shaheen miliknya yang terletak berhampiran.

Susulan kejadian itu, kira-kira 7,000 pekerja projek berkenaan dipindahkan ke kawasan selamat.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Yun Ho-jung mengarahkan pihak berkuasa menggerakkan semua sumber yang ada bagi memadam kebakaran serta memastikan tiada mangsa yang hilang.

Polis dan pihak bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!