Pengetua, guru cedera ditembak pelajar di Perancis

AUBAGNE - Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melepaskan tembakan menggunakan senapang memburu di sebuah sekolah menengah rendah di Perancis pada Isnin, sehingga mencederakan pengetua dan seorang guru sebelum senjata itu dirampas.
Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Rendah Joseph-Lakanal di bandar Aubagne, selatan Perancis, berhampiran Marseille. Seorang lagi individu turut mengalami kecederaan akibat terkena geseran peluru.
Suspek melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan termasuk di dalam sebuah bilik darjah sehingga meninggalkan kesan tembakan pada papan hitam.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Marseille, Audrey Jouaneton berkata, suspek memasuki sekolah dengan membawa sebuah beg berbentuk sarung gitar sebelum mengeluarkan senjata api laras panjang.
"Motif sebenar dia bertindak sedemikian masih disiasat. Pelaku juga tidak diketahui mempunyai rekod salah laku atau terlibat dalam sebarang kegiatan radikal," menurutnya.
Pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan siri bantahan pelajar sekolah menengah atas yang melanda negara itu sejak beberapa minggu lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

