RUU e-Dagang wujudkan medan persaingan saksama

RUU e-Dagang yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang. - Gambar hiasan
RUU e-Dagang yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA – Barisan gergasi e-dagang dan peruncitan terkemuka negara menyatakan sokongan padu terhadap cadangan pengenalan Rancangan Undang-Undang (RUU) e-Dagang di bawah Belanjawan 2027 bagi mewujudkan medan persaingan yang saksama dalam industri berkenaan.

Jurucakap Bab E-Dagang Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Hafidzi Razali berkata, kerangka perundangan baharu itu menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan piawaian amalan bertanggungjawab secara konsisten dalam kalangan semua pemain sektor.

Menurut beliau, ketetapan standard yang saksama penting bagi memastikan pertumbuhan perdagangan rentas sempadan yang sah tanpa menjejaskan peluang perniagaan tempatan.

"Piawaian sedemikian memperdalam kepercayaan awam dan mewujudkan medan persaingan yang saksama, sekali gus memupuk pasaran sihat yang memelihara perdagangan rentas sempadan yang sah, pilihan pembeli, serta ruang bagi perniagaan Malaysia untuk berkembang maju," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

MICCI E-Commerce Chapter mewakili platform e-dagang utama tanah air merangkumi Shopee, Lazada, TikTok Shop, Mudah, Carousell dan JayaGrocer.

Mengulas lanjut mengenai kesediaan industri, Hafidzi memberitahu bahawa ahli-ahli gabungan itu sudah pun melangkah ke hadapan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif kendiri bagi menyokong ekosistem perniagaan yang sihat.

Langkah-langkah berkenaan meliputi proses verifikasi penjual yang lebih ketat, kawalan keselamatan produk serta program pembinaan kapasiti untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk membina dan memastikan kerangka kerja ini adalah praktikal, berpatutan serta dikuatkuasakan secara konsisten," jelas beliau.

Langkah kawal selia terbaharu menerusi Belanjawan 2027 itu dijangka memberi dorongan positif kepada pasaran e-dagang tempatan yang kian pesat, di samping mengimbangi kestabilan antara pemain antarabangsa dan keupayaan bersaing PMKS tempatan.

Artikel Berkaitan:

RUU E-Dagang yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang, termasuk memastikan platform e-dagang beroperasi mengikut piawaian dan tanggungjawab yang ditetapkan.

Langkah itu juga dilihat penting bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih adil antara platform antarabangsa dengan peniaga tempatan.

Perkembangan pesat transaksi dalam talian turut meningkatkan keperluan terhadap perlindungan pengguna, keselamatan produk serta ketelusan urus niaga.

Pada masa sama, kawal selia yang jelas diperlukan bagi menangani cabaran perdagangan rentas sempadan, termasuk memastikan produk yang ditawarkan mematuhi peraturan berkaitan dan pengguna mempunyai saluran sewajarnya sekiranya berlaku pertikaian.

Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ekosistem e-dagang yang telus dan teratur berpotensi membuka peluang pasaran lebih luas serta meningkatkan daya saing perniagaan tempatan.

Bagaimanapun, pelaksanaan kerangka perundangan baharu itu perlu mengambil kira keupayaan peniaga, kos pematuhan dan mekanisme penguatkuasaan supaya tidak membebankan pemain industri, khususnya perniagaan kecil yang bergantung pada platform digital untuk memasarkan produk mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!