Diperdaya tawaran kerja lumayan, rakyat Malaysia didakwa dikurung, diugut RM163,400

Salinan video aktiviti pekerjaan yang perlu dilalui oleh mangsa di satu lokasi tidak diketahui di luar negara dan bahagian kaki dipukul sehingga cedera (kanan). Gambar kecil : Daniel Khoo
Salinan video aktiviti pekerjaan yang perlu dilalui oleh mangsa di satu lokasi tidak diketahui di luar negara dan bahagian kaki dipukul sehingga cedera (kanan). Gambar kecil : Daniel Khoo
A
A
A

SHAH ALAM – Tawaran kerja khidmat pelanggan bergaji lumayan di luar negara yang diharapkan mampu memberikan kehidupan lebih stabil dipercayai bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki warga Malaysia berusia 25 tahun.

Impian indah itu ternyata tidak menjadi kenyataan setelah mangsa hanya dikenali Cheng didakwa dikurung dan dipukul, manakala keluarganya diminta membayar AS$40,000 (kira-kira RM163,400) bagi membebaskannya.

Lebih membimbangkan, lokasi sebenar lelaki berbangsa Cina itu masih belum dapat dipastikan, manakala keluarganya bimbang keselamatannya selepas mendakwa mangsa berdepan kesukaran menghubungi pihak luar.

Laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo yang menegaskan kes berkenaan menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara.

Tambahnya, banyak pihak kini menawarkan menjanjikan gaji tinggi tanpa pengesahan latar belakang majikan dan tempat kerja.

"Orang ramai jangan terlalu mudah mempercayai tawaran kerja bergaji tinggi, walaupun ia datang daripada kenalan sendiri.

"Pastikan identiti majikan, lokasi tempat kerja dan semua syarat kontrak disemak terlebih dahulu sebelum bersetuju menerima pekerjaan di luar negara,” katanya kepada media pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas kes mangsa, Daniel berkata, keluarga lelaki berkenaan telah menyerahkan rekod perbualan WhatsApp, video pendek dan salinan laporan polis kepadanya bagi mendapatkan bantuan serta perhatian terhadap kes itu.

Menurut maklumat diberikan keluarga, lelaki terbabit pernah bekerja di Singapura sebelum kembali ke Malaysia untuk mencari peluang pekerjaan lain berikutan keadaan kerjayanya yang tidak stabil.

"Pada tahun ini, dia dikatakan berkenalan dengan seorang lelaki yang mempunyai minat sama terhadap kereta ketika menghadiri pameran kereta di Auto City, Pulau Pinang.

"Kenalan itu kemudian menawarkan pekerjaan sebagai kakitangan khidmat pelanggan di luar negara dengan gaji bulanan yang dikatakan lumayan.

"Mangsa dipercayai menerima tawaran tersebut selepas dimaklumkan bahawa tugasnya hanya melibatkan urusan pelanggan di pejabat tanpa perlu menjalankan urusan perniagaan di luar," jelas Daniel.

Bagaimanapun, Daniel mendedahkan keluarga mangsa mendakwa keadaan dihadapi mangsa selepas tiba di negara berkenaan didakwa berbeza daripada gambaran awal pekerjaan itu.

Tambahnya, keluarga mamgsa mendakwa lelaki tersebut hanya mengetahui kewujudan klausa penalti AS$40,000 sekiranya menamatkan kontrak lebih awal selepas menandatangani perjanjian pekerjaan.

"Oleh sebab tidak mampu membayar jumlah berkenaan, dia dikatakan terpaksa meneruskan pekerjaan itu.

"Telefon bimbit peribadinya juga didakwa dirampas sehingga menyukarkannya berhubung dengan keluarga dan pihak luar," ujar Daniel.

Katanya, pada Julai lalu, lelaki itu dipercayai menggunakan telefon di tempat kerja untuk meminta bantuan seorang rakan yang dipercayainya sebelum menghubungi keluarga menerusi Instagram.

Daniel turut memaklumkan keluarga mangsa mendakwa menerima maklumat bahawa lelaki itu dikurung dan sering dipukul.

"Dia juga dikatakan pernah menghantar maklumat lokasi yang, selepas diperiksa keluarga, menunjukkan kawasan sekitar sempadan Thailand-Myanmar.

"Abang mangsa dilaporkan membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling, Johor Bahru Utara, pada 31 Julai lalu selepas dimaklumkan mengenai mesej meminta bantuan berkenaan," tambahnya.

Ujar Daniel, berdasarkan salinan laporan yang diberikan keluarga, abang mangsa kali terakhir berhubung dengan adiknya menerusi WeChat pada 18 Julai lalu.

Jelasnya, keluarga turut memaklumkan bahawa mereka mendapatkan maklumat di pejabat konsular dan diberitahu lelaki berkenaan meninggalkan Malaysia pada 17 April tahun ini.

Daniel turut mengingatkan orang ramai supaya meneliti setiap terma kontrak pekerjaan sebelum membuat keputusan, khususnya jika terdapat penalti yang terlalu tinggi, sekatan untuk berhenti kerja atau syarat yang mengehadkan kebebasan pekerja.

"Jangan terburu-buru menerima tawaran hanya kerana dijanjikan pendapatan lumayan.

" Jika terdapat syarat yang meragukan, dapatkan penjelasan dan pengesahan daripada pihak berwibawa sebelum berlepas,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan bantuan berkaitan kes seumpama itu boleh menghubungi MCCC Negeri Pahang menerusi talian +60 14-994 6697.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!