'Jangan malu kembalikan GST' - Hamzah

Hamzah mempersoalkan mengapa isu sepenting itu tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2027.
Hamzah mempersoalkan mengapa isu sepenting itu tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2027.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak sepatutnya terus berdolak-dalik mengenai hala tuju sistem percukaian negara kerana ketidakpastian itu menyukarkan banyak pihak termasuk sektor perniagaan untuk merancang harga, kos pengeluaran, pelaburan dan rantaian bekalan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan dilihat semakin menuju ke arah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menerusi beberapa langkah percukaian yang diperkenalkan, namun belum menyatakan secara jelas untuk mengembalikannya dalam dasar negara.

"Nampak macam menuju ke arah itu, tetapi tak mahu sebut nak gunakan GST. Malu sebab hari itu kerajaan kata tidak mahu (kembalikan GST). Tak perlu malu, kadang-kadang dalam hidup ini, kalau (buat) salah, mengakulah salah.

"Tetapi sekarang (sedar) GST sebenarnya lebih baik. Namakanlah GST, apa salahnya," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sebelum pembentangan Belanjawan 2027, Anwar memaklumkan kerajaan sedang mengkaji sistem cukai hibrid antara GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Namun menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan UMNO mahu GST dikembalikan manakala Timbalan Menteri Kewangan sebelum itu memaklumkan elemen GST akan diserapkan ke dalam SST.

Justeru, Hamzah mempersoalkan mengapa isu sepenting itu tidak disentuh dalam pembentangan Belanjawan selepas beberapa kenyataan berbeza dikeluarkan beberapa pemimpin kerajaan.

"Sistem percukaian negara perlu mempunyai hala tuju yang jelas dan tidak boleh dibiarkan dalam keadaan kabur.

"Jika yakin sistem sedia ada mencukupi, jelaskan dengan bukti. Jika ada keperluan untuk perubahan, bentangkan pelan yang lengkap.

Artikel Berkaitan:

"Kalau GST wajar dikembalikan, ianya mestilah pada kadar yang munasabah, tidak membebankan rakyat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!