[VIDEO] ‘Batrisya bersungguh-sungguh mahu baju putih’ – Ibu

A
A
A

BATU PAHAT – Permintaan untuk dibelikan baju berwarna putih yang tidak pernah dibuat sebelum ini terus terngiang-ngiang dalam ingatan seorang ibu selepas anak bongsunya, Siti Nur Batrisya Mohd Halid, 22, maut dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat.

Lebih menyayat hati, kemalangan sama turut meragut nyawa cucu saudaranya, Siti Nur Maisarah Abd Jalil, 22, yang mempunyai hubungan rapat dengan Batrisya sejak kecil.

Ibu mangsa, Hamidah Suliman, 66, berkata, permintaan tersebut agak luar biasa kerana anaknya tidak pernah meminta dibelikan pakaian berwarna putih sebelum ini.

Hamidah dan anaknya, Haisyam menunjukkan gambar kenangan Batrisya serta Maisarah
Hamidah dan anaknya, Haisyam menunjukkan gambar kenangan Batrisya serta Maisarah

“Sebelum ini dia tidak pernah minta baju warna putih, tetapi kali ini bersungguh-sungguh.

“Semalam pun berkali-kali dia melambai ketika keluar bekerja kira-kira jam 3 petang,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini pada Sabtu.

Gambar kenangan Batrisya (kiri) dan Maisarah bersama salah seorang ahli keluarga mereka. Hamidah (kanan)
Gambar kenangan Batrisya (kiri) dan Maisarah bersama salah seorang ahli keluarga mereka. Hamidah (kanan)

Artikel Berkaitan:

Menurut Hamidah, beliau tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang lebih banyak berdiam diri sebelum kejadian menjadi antara kenangan terakhir bersama arwah.

Katanya, dia mula berasa tidak sedap hati apabila Batrisya dan Maisarah tidak membuat siaran langsung untuk menjual barangan secara dalam talian menerusi aplikasi TikTok pada jam 4 petang seperti kebiasaan.

Beliau kemudian meminta suaminya memeriksa lokasi terakhir kedua-dua mangsa sebelum dimaklumkan bahawa kenderaan yang dinaiki mereka berada di lokasi yang sama selama kira-kira 30 minit.

“Saya berasa tidak sedap hati lalu terus memandu ke lokasi itu sebelum ternampak Perodua Myvi yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

“Dalam hati, saya berdoa supaya mereka selamat. Namun sebaik memaklumkan kepada anggota bomba bahawa saya waris dan mahu melihat keadaan mangsa, saya sangat terkejut apabila mereka yang maut ialah anak dan cucu saudara saya,” katanya.

Ahli keluarga Batrisya dan Maisarah menunggu bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa sebelum dibawa ke Sungai Sagil untuk dikebumikan
Ahli keluarga Batrisya dan Maisarah menunggu bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa sebelum dibawa ke Sungai Sagil untuk dikebumikan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan membabitkan sebuah lori di Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, kira-kira jam 4.21 petang pada Jumaat.

Kedua-dua mangsa ditemukan tersepit di dalam kenderaan yang terbakar hampir 80 peratus dalam kejadian tersebut.

Mengimbau hubungan kedua-dua mangsa, Hamidah berkata, mereka sangat rapat kerana dibesarkan bersama sejak kecil sehingga memilih untuk bekerja di tempat yang sama.

Menurutnya, hubungan erat itu sukar dipisahkan memandangkan kediaman mereka juga terletak bersebelahan.

“Kalau jumpa kucing, mereka suka beri makan dan kadang-kadang membawanya pulang ke rumah.

“Paling penting, kedua-duanya sangat menghormati orang tua. Memang sifat mereka sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!