Gempa kuat gegar Panama

Sebuah kenderaan rosak teruk selepas dihempap serpihan runtuhan di Panama City. - Foto Agensi
Sebuah kenderaan rosak teruk selepas dihempap serpihan runtuhan di Panama City. - Foto Agensi
A
A
A

PANAMA CITY - Gempa berkekuatan 7.7 skala Richter menggegar selatan Panama pada Jumaat hingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.

Media tempatan melaporkan gegaran di negara Amerika Tengah itu hanya menyebabkan kerosakan minimum tanpa mengorbankan nyawa atau kecederaan serius.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), ia berlaku pada kedalaman 12.6 kilometer dengan pusat gempa terletak di kawasan yang jarang didiami kira-kira 200 kilometer dari ibu kota.

Lebih 40 gegaran susulan direkodkan beberapa jam kemudian. Namun, operasi Terusan Panama dan lombong tembaga Cobre Panama berjalan seperti biasa manakala penggantungan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Tocumen ditarik balik.

Presiden Raul Mulino dilaporkan berkunjung ke Penonome, sebuah bandar yang terletak kira-kira di pertengahan laluan antara pusat gempa dengan Panama City. Beberapa bangunan di bandar itu runtuh manakala sebuah gereja separa rosak.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengesahkan ancaman tsunami telah berakhir menerusi buletin terakhirnya.

Ramalan awal pusat berkenaan berhubung ancaman gelombang tsunami meliputi kawasan pesisir pantai di 11 negara dengan jangkaan ketinggian ombak berbeza-beza. Ancaman paling besar dikenal pasti di beberapa kawasan pantai Panama. - Agensi

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!