Belanjawan 2027: Cuti bersalin diharap tingkat kadar kelahiran penduduk

IPOH – Pelanjutan cuti bersalin yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 diharap dapat membantu meningkatkan kadar kelahiran penduduk, khususnya di Perak yang berdepan cabaran populasi menua.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kemudahan itu dapat memberi ruang kepada ibu untuk pulih selepas bersalin selain menyesuaikan diri dengan tanggungjawab menjaga anak.
Menurutnya, tempoh cuti yang lebih panjang juga berpotensi mengurangkan tekanan dalam kalangan ibu muda, terutama berkaitan urusan mendapatkan penjagaan anak selepas kembali bekerja.
“Sekurang-kurangnya peluang itu dapat memberi ruang kepada wanita untuk pulih selepas bersalin. Lebih penting, kadar kesuburan kita sekarang semakin menurun dan bagi Perak, kadarnya sekitar 1.6 sahaja.
“Ini bermakna purata bilangan anak bagi setiap wanita masih di bawah paras penggantian penduduk, sedangkan kita sedang menghadapi isu populasi menua. Jadi, mungkin langkah ini sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan kadar kelahiran,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Sukan Negara di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak di sini pada Sabtu.
Salbiah berkata, pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 turut meliputi bidang di bawah portfolio beliau, termasuk ekonomi penjagaan, pembangunan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta pengukuhan gerakan koperasi.
Katanya, keberkesanan inisiatif berkenaan bergantung kepada sejauh mana kumpulan sasar mengetahui, merebut dan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik peningkatan bantuan kepada penjaga orang kurang upaya (OKU) terlantar daripada RM500 kepada RM600 kerana dapat membantu mengurangkan beban kewangan keluarga yang menguruskan ahli keluarga berkenaan.
Beliau turut mengalu-alukan pengumuman pembinaan Kompleks Bersepadu Kesihatan di Gerik yang disifatkan mampu memudahkan penduduk mendapatkan rawatan, khususnya perkhidmatan pakar.
Menurutnya, penduduk di kawasan itu sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan pakar di Taiping atau Ipoh, sekali gus menyebabkan mereka perlu menempuh perjalanan yang jauh.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada keperluan pendidikan negeri termasuk kelulusan pembinaan sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor.
Beliau berkata, pembinaan sekolah itu penting memandangkan Perak berdepan isu kepadatan murid yang tinggi di sesetengah sekolah selain keadaan bangunan sekolah yang uzur.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya melihat ketiga-tiga kementerian berkaitan pendidikan, pengajian tinggi serta belia dan sukan menerima peruntukan yang baik untuk melaksanakan program pembangunan modal insan.
“Peruntukan itu juga diharap dapat memastikan proses pembelajaran berjalan lancar dan usaha pembangunan belia serta sukan dapat diteruskan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

