'Solat jenazah di atas kubur ada sandaran sunnah, jangan mudah hukum bidaah' - Mufti

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman
A
A
A

GEORGE TOWN – Masyarakat Islam dinasihatkan supaya tidak terburu-buru menghukum amalan solat jenazah di atas kubur selepas pengebumian sebagai bidaah atau bercanggah dengan syariat sebaliknya memahami dalil serta perincian hukum berdasarkan pandangan ulama.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, amalan berkenaan mempunyai sandaran daripada sunnah Rasulullah SAW dan dibincangkan dalam Mazhab Syafi‘i khususnya bagi individu yang belum berkesempatan menunaikan solat jenazah sebelum pengebumian.

Menurutnya, isu pelaksanaan solat jenazah di kawasan perkuburan yang menjadi perhatian masyarakat susulan penularan rakaman video di media sosial perlu dinilai secara ilmiah berdasarkan dalil agama bukannya semata-mata berpandukan persepsi atau perbezaan daripada kebiasaan setempat.

"Pada asasnya, terdapat hadis yang melarang umat Islam menjadikan kawasan perkuburan sebagai tempat menunaikan solat.

"Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seluruh bumi merupakan tempat solat kecuali kawasan perkuburan dan tempat mandi.” Hadis berkenaan diriwayatkan oleh Abu Dawud dan al-Tirmizi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, larangan itu tidak seharusnya difahami secara mutlak sehingga merangkumi semua jenis solat tanpa mengambil kira dalil lain yang berkaitan.

Ini kerana terdapat hadis sahih yang menunjukkan Rasulullah SAW pernah menunaikan solat jenazah di atas kubur seseorang yang telah dikebumikan.

"Dalam hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bertanyakan mengenai seorang wanita yang biasa membersihkan masjid.

"Selepas dimaklumkan wanita berkenaan telah meninggal dunia dan dikebumikan, Baginda SAW meminta supaya ditunjukkan kuburnya sebelum mendatangi tempat berkenaan untuk menunaikan solat jenazah ke atasnya.

Artikel Berkaitan:

"Hadis itu menjadi antara sandaran utama yang menunjukkan solat jenazah selepas pengebumian mempunyai asas dalam syariat Islam," ujarnya.

Mohd Sukki menambah, dalam Mazhab Syafi‘i, solat jenazah di atas kubur diharuskan bagi individu yang belum menunaikan solat ke atas jenazah tertakluk kepada perincian hukum yang dibahaskan oleh ulama.

"Imam al-Nawawi menerusi kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab turut membincangkan keharusan menunaikan solat jenazah di atas kubur berdasarkan hadis sahih berkaitan.

"Justeru, individu yang tidak sempat menunaikan solat jenazah sebelum pengebumian boleh melaksanakannya selepas jenazah dikebumikan, berdasarkan ketetapan dan perincian dalam Mazhab Syafi‘i," katanya.

Menurutnya, amalan itu tidak sewajarnya terus dianggap sebagai bidaah atau bercanggah dengan sunnah tanpa penelitian terhadap dalil serta pandangan ulama.

Dalam pada itu, Mohd Sukki berkata, pelaksanaan solat jenazah sebelum pengebumian di kawasan perkuburan juga perlu dilihat berdasarkan keadaan tempat dan kedudukan jenazah.

"Walaupun terdapat perbahasan fiqh mengenai keharusan pelaksanaannya, tempat yang lebih sesuai serta dapat mengelakkan kekeliruan wajar diutamakan.

"Masyarakat turut dinasihatkan supaya tidak mudah mempertikaikan sesuatu amalan ibadah hanya kerana ia berbeza daripada kebiasaan setempat.

"Ini kerana terdapat amalan yang mempunyai sandaran hadis sahih dan dibincangkan oleh ulama, meskipun tidak dilaksanakan secara meluas dalam kalangan masyarakat," katanya.

Tambah beliau, sikap tergesa-gesa menyalahkan sesuatu amalan tanpa memahami dalil dan perincian hukum dikhuatiri menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Masyarakat disaran merujuk pihak berautoriti agama bagi mendapatkan penjelasan mengenai hukum sesuatu amalan dan tidak menjadikan media sosial sebagai satu-satunya sumber rujukan dalam persoalan agama.

"Dalam menguruskan kematian, perkara yang lebih utama ialah memastikan hak jenazah disempurnakan, maruah serta penghormatannya dipelihara selain memberikan sokongan dan doa kepada ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!