Aleeya Mikayla perlu RM100,000

Keluarga Aleeya Mikayla bersama kakitangan One Hope Charity & Welfare.
Keluarga Aleeya Mikayla bersama kakitangan One Hope Charity & Welfare.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kegembiraan pasangan suami isteri menyambut kelahiran cahaya mata sulung selepas lima tahun menanti bertukar menjadi kebimbangan apabila bayi perempuan mereka disahkan menghidap kecacatan jantung kongenital serius sejak dilahirkan.

Lebih meruntun hati, Aleeya Mikayla Muhammad Syahir, yang kini berusia setahun memerlukan dana RM100,000 bagi menjalani pembedahan pembaikan jantung dengan segera selepas keadaannya semakin membimbangkan.

Bapanya, Muhammad Syahir Mohd Nasir, 37 berkata, dia dan isteri, Balqis Ahmad Radzi, 30, tidak pernah menyangka penantian mereka untuk mendapatkan cahaya mata pertama akan disusuli ujian berat apabila anak kesayangan mereka berdepan masalah jantung sejak hari pertama kelahirannya.

Ketika baru berusia seminggu, Aleeya Mikayla terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan stent untuk meluaskan saluran darah yang sempit.
Ketika baru berusia seminggu, Aleeya Mikayla terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan stent untuk meluaskan saluran darah yang sempit.

Menurutnya, ketika isterinya sudah cukup bulan untuk bersalin, doktor mendapati degupan jantung bayi berkenaan lemah sebelum melakukan pembedahan Caesarean kecemasan.

“Selepas dilahirkan, Aleeya Mikayla hanya sempat menangis sekali sebelum seluruh tubuhnya bertukar kebiruan akibat kekurangan oksigen.

“Dia segera dimasukkan ke dalam inkubator untuk menerima bantuan oksigen sebelum pemeriksaan mengesahkan dia mengalami kecacatan jantung kongenital serius iaitu Tetralogi Fallot (TOF) dan Pulmonary Atresia (PA),” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua keadaan itu menyebabkan aliran darah dari jantung ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen terganggu sekali gus memerlukan rawatan dan pemantauan rapi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ketika baru berusia seminggu, Aleeya Mikayla terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan stent untuk meluaskan saluran darah yang sempit.

Anaknya itu kemudian dirawat di hospital selama sebulan sebelum dibenarkan pulang namun masih memerlukan tiub penyusuan dan perlu belajar minum susu sendiri secara berperingkat.

“Bibir dan kuku jarinya juga kerap bertukar kebiruan. Dia turut mengalami sesak nafas apabila bermain atau menangis.

“Melihat keadaan anak sendiri begitu memang merisaukan tetapi kami tetap berusaha memberikan penjagaan terbaik untuknya,” katanya.

Muhammad Syahir berkata, keadaan anaknya semakin memerlukan perhatian apabila pertumbuhan badan menyebabkan saluran darah jantung yang sempit itu tidak lagi mampu memenuhi keperluan tubuhnya.

Menurutnya, pemeriksaan susulan pada Julai lalu mendapati pembedahan tidak boleh ditangguhkan lagi kerana kelewatan mendapatkan rawatan dikhuatiri boleh mengancam nyawa anaknya.

“Doktor memaklumkan Aleeya Mikayla perlu menjalani pembedahan pembaikan jantung yang lebih kompleks, termasuk membuang stent sedia ada, memasukkan saluran jantung buatan serta membina semula laluan aliran darah dari jantung ke paru-paru.

“Saya buntu memikirkan kos pembedahan yang mencecah RM100,000 kerana tidak mampu menanggung jumlah itu sendiri. Sebab itu, kami terpaksa memohon bantuan orang ramai demi memastikan anak kami mendapat rawatan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga dari Ipoh, Perak itu untuk mengumpulkan dana bagi membolehkan Aleeya Mikayla menjalani pembedahan berkenaan.

Menurutnya, bapa bayi itu bekerja sebagai anggota polis bantuan manakala ibunya merupakan suri rumah.

"Keluarga berkenaan hanya mampu menyediakan RM20,000 dan memerlukan bantuan bagi menampung baki kos pembedahan.

"Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, nombor akaun 3193433435, atau melalui laman web onehopecharity.org," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!