Tesis PhD Kamarudin Jaffar dicalon anugerah terbaik

SINTOK – Bekas Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar, berjaya mempertahankan tesis Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan pindaan kecil, sekali gus membuka ruang kepada kajiannya dipertimbangkan untuk anugerah tesis terbaik.
Tesis bertajuk Satu Pilihan Raya, Tiga Kerajaan: Kajian Kes Mengenai Kedinamikan dan Corak Berubah-ubah Senario Politik Gabungan di Malaysia, 2018–2022 itu meneliti pergolakan politik negara yang menyaksikan tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kejayaan itu membawa makna tersendiri buat Kamarudin, yang mempunyai pengalaman lebih dua dekad sebagai ahli Parlimen serta pernah menyertai pentadbiran beberapa kerajaan Persekutuan.
Lebih menarik, beliau bukan sekadar mengkaji perubahan landskap politik negara antara 2018 hingga 2022, malah turut terlibat secara langsung dalam sebahagian daripada episod politik berkenaan.
Tesis itu dikemukakan kepada Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG), UUM, bagi memenuhi keperluan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik.
Kajian berkenaan memberi tumpuan kepada pembentukan dan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang ketika itu menggunakan gagasan Keluarga Malaysia.
Menurut kajian itu, perubahan kerajaan dalam tempoh berkenaan bukan sekadar berpunca daripada kerapuhan majoriti di Parlimen, sebaliknya dipengaruhi interaksi kompleks antara persaingan elit politik, perbezaan ideologi, tekanan institusi, politik identiti, persekitaran media dan perubahan persepsi awam.
Kajian itu turut mencabar andaian tradisional mengenai kestabilan politik gabungan di Malaysia, khususnya dalam keadaan tiada parti dominan yang mampu menjamin majoriti Parlimen yang kukuh.

Bagi menganalisis fenomena tersebut, Kamarudin menggunakan teori consociationalism atau demokrasi permuafakatan sebagai kerangka utama, selain menggabungkannya dengan teori penetapan agenda (Agenda-Setting Theory), kepercayaan politik (Political Trust Theory), identiti sosial (Social Identity Theory) dan pengurusan krisis (Crisis Management Theory).
Pendekatan itu membolehkan perubahan kerajaan antara 2018 hingga 2022 diteliti bukan sekadar sebagai siri pertukaran Perdana Menteri, tetapi sebagai gambaran perubahan dinamik sistem politik Malaysia selepas berakhirnya dominasi politik satu gabungan.
Antara dapatan utama kajian ialah ketiga-tiga kerajaan beroperasi dalam persekitaran politik yang rapuh, manakala persepsi awam menjadi faktor penting yang menghubungkan konflik elit, prestasi kerajaan, politik identiti dan legitimasi dengan kelangsungan pemerintahan.
Kualiti kajian itu turut mendapat penilaian positif daripada pemeriksa luar, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian.
Dalam laporan pemeriksaannya, Sivamurugan menyifatkan tesis berkenaan mempunyai sumbangan signifikan dalam memahami dinamika politik gabungan di Malaysia, khususnya hubungan antara perubahan kerajaan dengan faktor yang mempengaruhi kestabilan dan kelangsungan pemerintahan dalam sistem demokrasi berparlimen.
Laporan itu turut menyokong supaya tesis berkenaan dipertimbangkan untuk anugerah tesis terbaik, dengan mengambil kira sumbangannya kepada bidang politik Malaysia, kepentingan isu yang diketengahkan serta keupayaannya menghuraikan fenomena politik kompleks menerusi analisis tersusun.
Ketika ditemui, Kamarudin yang ditemani isterinya, Datin Yushazlinda Yaacob, melahirkan rasa syukur atas kejayaan itu, selain merakamkan penghargaan kepada penyelianya, Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff, yang banyak membimbing beliau sepanjang proses penyelidikan.
Beliau berkata, hasrat melanjutkan pengajian ke peringkat PhD sudah lama tersimpan sejak meninggalkan dunia akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menceburkan diri secara aktif dalam politik pada 1985.
“Sejak meninggalkan dunia akademik di UKM untuk menceburkan diri secara aktif dalam dunia politik pada 1985, saya sentiasa menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD.
“Bagaimanapun, kekangan masa dan tanggungjawab politik menyebabkan hasrat itu tertangguh. Selepas saya tidak lagi menjadi Ahli Parlimen selepas PRU15, barulah saya mempunyai ruang dan masa yang lebih sesuai untuk kembali kepada dunia akademik serta menyiapkan penyelidikan ini,” katanya.
Menurutnya, pemilihan tajuk tesis itu didorong oleh perkembangan politik antara 2018 hingga 2022 yang disifatkannya sebagai fenomena menarik dan relevan untuk dikaji secara ilmiah.
“Tajuk ini saya pilih kerana ia merupakan satu fenomena politik yang sangat menarik dan mempunyai kerelevanan yang tinggi dengan perkembangan politik semasa negara. Lebih menarik, saya sendiri terlibat secara langsung dalam sebahagian daripada perjalanan politik negara sepanjang era 2018 hingga 2022 itu.
“Pengalaman tersebut memberi saya dorongan untuk melihat perkembangan berkenaan bukan sahaja daripada perspektif seorang pengamal politik, tetapi secara lebih sistematik dan ilmiah melalui penyelidikan akademik,” katanya.
Untuk rekod, Kamarudin pernah berkhidmat sebagai pensyarah di UKM dari 1975 hingga 1985 selepas melanjutkan pengajian di University of Kent, Canterbury, United Kingdom, dari 1971 hingga 1974 dan University of London pada 1975 hingga 1976.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Ghafar Baba, dari 1986 hingga 1991 sebelum meneruskan kerjaya dalam politik.
Kamarudin memenangi kerusi Parlimen Tumpat pada PRU 1999 dan mempertahankannya dalam tiga pilihan raya umum berikutnya, sebelum memenangi kerusi Bandar Tun Razak pada PRU14.
Selepas PH membentuk kerajaan pada 2018, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan, sebelum berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri mulai Mac 2020 sehingga November 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
