Pemandu e-panggilan didakwa ambil dadah, sebabkan kematian pelajar IPTS

SHAH ALAM - Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian seorang penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) warga Maldives dalam satu kemalangan, Ahad lepas.
Muhamad Syafiq Ibrahim, 37, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa memandu sebuah kereta Perodua Ativa di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kematian penumpangnya, Aamina Imeely Nazim, 22.
Dia turut didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh dadah yang sama sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang lagi penumpang warga Maldives, Aishath Sara Nizam, 22.
Lelaki itu juga didakwa memandu kenderaan itu tanpa cermat dan perhatian yang sepatutnya sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah kenderaan lain serta kecederaan terhadap Aishath Sara.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Plaza Tol PJS, kira-kira jam 8.40 malam Ahad lepas.
Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 memperuntukkan hukuman penjara hingga 12 bulan dan denda antara RM5,000 hingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, namun peguam Rohan Singh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM2,000 sebulan sebagai pemandu e-panggilan selain isterinya seorang suri rumah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin, menggantung lesen memandunya sehingga kes selesai serta menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pemandu e-panggilan direman bagi membantu siasatan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga mengakibatkan penuntut wanita warga Maldives yang juga penumpang kenderaannya maut dalam kemalangan berhampiran Plaza Tol Petaling Jaya, Subang Jaya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
