Pendapatan pelaburan tertinggi TH hasil positif strategi berdisiplin, tatakelola - Wadah

KUALA LUMPUR - Pencapaian rekod tertinggi pendapatan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sebanyak RM4.64 bilion bagi tahun kewangan 2025 adalah hasil positif daripada strategi pelaburan lebih berdisiplin, pengurusan risiko berterusan dan pengukuhan tatakelola.
Setiausaha Agung Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) Azizuddin Ahmad berkata, prestasi cemerlang itu membuktikan agenda reformasi dan penambahbaikan institusi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas sedang membuahkan hasil.
Beliau berkata, Wadah mengambil maklum penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan di Dewan Rakyat bahawa portfolio pelaburan TH diurus secara berhemat, patuh syariah dan berpandukan kerangka Alokasi Aset Strategik.
"Kerangka berkenaan memastikan portfolio TH dipelbagaikan mengikut kelas aset, sektor dan pasaran manakala aspek pengurusan risiko memberi keutamaan kepada perlindungan modal pendeposit, pengurusan aset dan liabiliti, kecairan serta pemilihan aset yang mempunyai asas dan aliran tunai mampan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azizuddin berkata, kedudukan kewangan TH juga kekal kukuh dengan jumlah aset RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion bagi tahun kewangan 2025.
Selain itu, Azizuddin berkata, Kadar Agihan Keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025, melibatkan agihan sebanyak RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit.
"Ini membuktikan kepentingan tatakelola kukuh, disiplin pelaburan, pematuhan syariah dan pengurusan risiko yang berkesan,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu bagaimanapun tidak seharusnya membawa kepada sikap selesa sebaliknya momentum reformasi perlu diteruskan bagi memastikan kekuatan kewangan dan keyakinan pendeposit dapat dipertahankan dalam jangka panjang.
Azizuddin berkata, pengalaman lepas dan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan TH perlu terus dijadikan pedoman untuk memperkukuh sistem, menutup ruang kelemahan serta memastikan setiap keputusan membabitkan dana umat Islam dibuat dengan penuh integriti, kompetensi dan akauntabiliti.
Pada masa sama, WADAH menghargai usaha TH memastikan mandat asal institusi itu terus dipelihara termasuk membantu umat Islam membuat persediaan menunaikan ibadah haji.
"Keupayaan mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 bagi empat musim berturut-turut dari 2024 hingga 2027 turut menunjukkan kepentingan pengurusan kewangan yang mampan dalam menyokong kepentingan para jemaah," katanya.
Wadah berpendapat kejayaan TH tidak seharusnya diukur melalui prestasi kewangan semata-mata sebaliknya turut merangkumi kekuatan tatakelola, keselamatan simpanan, pematuhan syariah, mutu perkhidmatan dan keyakinan berterusan para pendeposit. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
