Kes Altantuya: Pendengaran semakan kehakiman ditangguh ke 12 Januari 2027

Pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh bapa mendiang Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, ditangguhkan ke tahun hadapan.
Pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh bapa mendiang Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa, ditangguhkan ke tahun hadapan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pendengaran permohonan semakan kehakiman oleh bapa mendiang Altantuya Shaariibuu, Dr Shaariibuu Setev berhubung siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah bekas pegawai polis, Cif Inspektor Azilah Hadri di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, ditangguhkan ke 12 Januari tahun hadapan.

Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Shaariibuu berkata, penangguhan itu dibuat selepas responden memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit jawapan terhadap afidavit yang difailkan pihaknya pada pagi Selasa.

Responden dalam kes berkenaan ialah Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia.

Sangeet berkata, dalam hujahan bertulis, responden mengambil pendirian bahawa anak guamnya selaku pemohon, tidak memberikan maklumat mengikut Seksyen 107 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

"Sehubungan itu, responden berpendirian bahawa tiada kewajipan untuk memaklumkan kepada pemohon mengenai status siasatan.

“Susulan itu, kami mengemukakan jawapan kepada mahkamah, satu laporan polis yang dibuat oleh pemohon pada 2018. Ia secara khusus meminta supaya siasatan dijalankan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhan model itu," katanya.

Sangeet berkata, responden memohon peluang untuk memberi maklum balas terhadap kandungan afidavit berkenaan.

Katanya, mahkamah kemudian menangguhkan pendengaran ke tahun hadapan bagi membolehkan responden memfailkan afidavit jawapan.

Pendengaran permohonan itu sepatutnya didengar di hadapan Hakim, Norliza Othman pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 Oktober 2025, Hakim, Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas Peguam Negara tidak membantah permohonan berkenaan.

Dalam permohonan itu, Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan responden yang gagal memaklumkan status terkini siasatan yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah yang diikrarkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri adalah bercanggah dengan undang-undang.

Afidavit tambahan bertarikh 24 September 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019 itu digunakan oleh Azilah bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Kedua-dua dokumen itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia menerima arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan menghapuskan si mati’.

Shaariibuu selaku pemohon berkata, sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan berkenaan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah

Beliau turut memohon perintah mandamus supaya semua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap kandungan kedua-dua dokumen itu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Selain itu, Shaariibuu berkata, sekiranya responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA), alasan bagi keputusan itu perlu diberikan.

Pada 10 Oktober 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan 40 tahun serta 12 sebatan selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan bekas pegawai polis itu bagi kesalahan membunuh Altantuya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!