Kepala model dibunuh suami ditemukan dalam periuk sup

Orang ramai melihat laporan berita mengenai model dan pempengaruh Hong Kong, Abby Choi menerusi skrin di dalam sebuah kereta api di Hong Kong pada Februari 2023. Foto: AFP
Orang ramai melihat laporan berita mengenai model dan pempengaruh Hong Kong, Abby Choi menerusi skrin di dalam sebuah kereta api di Hong Kong pada Februari 2023. Foto: AFP
A
A
A

HONG KONG – Perbicaraan kes pembunuhan model dan pempengaruh terkenal, Abby Choi, 28, kembali mencuri perhatian selepas mahkamah mendengar penghujahan bahawa mangsa dibunuh dan dikerat sebelum kepalanya ditemukan di dalam periuk berisi sup sayur-sayuran.

Bekas suaminya, Alex Kwong bersama bapanya, Kwong Kau dan abangnya, Anthony Kwong kini dibicarakan atas pertuduhan membunuh Abby pada Februari 2023.

Ketiga-tiga mereka menafikan pertuduhan berkenaan.

Pendakwa raya mendakwa, pembunuhan itu berpunca daripada pertikaian sebuah apartmen mewah bernilai kira-kira HK$60 juta (RM31.2 juta) yang dibeli Abby untuk keluarga bekas suaminya.

Hartanah tersebut didaftarkan atas nama Kwong Kau, namun hubungan mereka didakwa mula tegang selepas Abby memutuskan untuk menjualnya pada 2022.

Menurut pihak pendakwaan, Kwong Kau pada awalnya enggan menandatangani dokumen berkaitan penjualan sebelum akhirnya bersetuju selepas Abby mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pendakwa kemudian mendakwa rancangan pembunuhan disusun bagi menghalang penjualan hartanah itu, dengan Alex dan Anthony turut didakwa terlibat.

Mahkamah turut mendengar dakwaan bahawa beberapa barangan dibeli sebelum kejadian, termasuk mesin pengisar daging, papan pemotong besar, gergaji elektrik, tali, sarung tangan, bekas plastik dan periuk logam besar.

Abby dilaporkan hilang pada 21 Februari 2023 sebelum polis menemukan beberapa bahagian mayatnya beberapa hari kemudian di sebuah rumah di Tai Po.

Artikel Berkaitan:

Kepalanya ditemukan di dalam periuk berisi sup sayur-sayuran, manakala bahagian kaki mangsa ditemukan di dalam peti sejuk, menurut polis.

Siasatan turut menemukan sebuah kenderaan tujuh tempat duduk yang mempunyai kesan darah.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa darah yang ditemukan dalam kenderaan Anthony sepadan dengan Abby.

Pihak pendakwaan turut mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang didakwa menunjukkan Abby menaiki sebuah kenderaan pada hari dia dilaporkan hilang.

Alex dan Anthony mengaku bersalah atas pertuduhan menghalang pengebumian secara sah, namun menafikan pembunuhan.

Kwong Kau pula menafikan kedua-dua pertuduhan.

Ketiga-tiga mereka dibicarakan atas prinsip tanggungjawab bersama dan boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan membunuh.

Kes Abby Choi mencetuskan kejutan besar di Hong Kong pada 2023 dan mendapat perhatian antarabangsa berikutan keadaan mayat mangsa ketika ditemukan.

Beliau mempunyai lebih 80,000 pengikut di Instagram dan pernah muncul pada muka depan sebuah majalah di Monaco tidak lama sebelum kematiannya.

Perbicaraan berprofil tinggi itu dijangka berlangsung selama kira-kira 45 hari. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!